SEREMBAN – Pertubuhan Briged Negaraku bersedia menawarkan khidmat nasihat guaman percuma kepada keluarga mangsa maut dirempuh sebuah kereta melanggar lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini dalam kejadian pada Khamis.
Presidennya, Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, khidmat itu bagi memastikan pihak keluarga mendapatkan keadilan sewajarnya atas insiden berlaku.
“Kita tahu mereka bukan dari keluarga yang senang dan kejadian berlaku semestinya memberi kesan cukup mendalam, lebih-lebih lagi ia disebabkan kes langgar lampu isyarat merah.
“Kita tengok di media sosial pun macam-macam cerita berkenaan insiden berlaku dan kita rasa bertanggungjawab untuk membantu mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurutnya, pihaknya akan cuba menjadi pemudah cara kepada keluarga untuk menyelesaikan apa saja berkaitan kes yang berlaku.
Pada masa samam beliau berkata, khidmat kaunseling turut akan disediakan kepada keluarga bagi membantu memulihkan trauma dihadapi.
Sebelum ini media melaporkan, dua maut dirempuh sebuah kereta Honda Jazz yang tidak berhenti lampu isyarat merah.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kemalangan sekitar jam 8. 30 malam itu membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda Jazz serta dua motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu seorang remaja lelaki berumur 18 tahun bersama seorang penumpang lelaki berumur 17 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Paroi.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta Honda Jazz dipercayai telah gagal berhenti di lampu isyarat merah lalu melanggar dua buah motosikal datang dari arah sebelah kiri.
” Akibat kemalangan ini, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss masing-masing berumur 15 dan 16 tahun mengalami parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
SinarHarian-