KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima hukuman ‘tambahan’ daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas badan induk bola sepak dunia itu membatalkan keputusan perlawanan membabitkan tiga aksi persahabatan antarabangsa pasukan Harimau Malaya sebelum ini.
Aksi persahabatan itu termasuk pertembungan Malaysia dengan Cape Verde di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei lalu yang berkesudahan seri 1-1.
Dua lagi perlawanan adalah Malaysia menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September lalu yang berkesudahan Malaysia menang 2-1 dan Malaysia berdepan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor (8 September) yang mana Harimau Malaya menang 1-0.
FAM dalam kenyataan, hari ini memaklumkan bahawa hukuman terbaharu itu diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang bersidang pada Jumaat lalu berkaitan kes menurunkan pemain yang tidak layak.
Badan induk itu menjelaskan, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio itu mendapati FAM melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga perlawanan terbabit.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada ketiga-tiga perlawanan itu. Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414).
“FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara ini,” kata FAM.
Pada September lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel atas dakwaan pemalsuan dokumen.
Selain digantung, pemain terbabit turut didenda CHF 2,000 (RM10,411) setiap seorang, manakala FAM pula dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta).
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi pada 8 Disember lalu mengesahkan badan induk itu sudah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman yang dikenakan oleh FIFA itu.
BHonline-


