SHAH ALAM, 10 Disember 2025 – Tindakan tiga lelaki yang dipercayai cuba membuka penutup lubang kabel di lorong belakang rumah sebuah kawasan perumahan di Taman TTDI Jaya awal pagi tadi mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.
Dalam kejadian sekitar jam 3.30 pagi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik seorang penduduk jelas menunjukkan tiga suspek berjalan di lorong tersebut sebelum berhenti di sebuah penutup utiliti.
Mereka dilihat mencuba mengumpil dan membuka penutup lubang kabel berkenaan.
Penduduk yang menyedari insiden itu selepas meneliti rakaman CCTV segera memaklumkan kepada pihak berkuasa serta jiran berhampiran bagi langkah keselamatan.
Setakat ini, belum diketahui sama ada cubaan itu bertujuan mencuri kabel, melakukan vandalisme, atau mempunyai motif lain.
Pihak polis difahamkan akan meneliti rakaman CCTV tersebut dan akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti ketiga-tiga suspek.
Penduduk kawasan terbabit dinasihatkan meningkatkan kawalan keselamatan, mengelakkan lorong belakang gelap tanpa pengawasan dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.— Mynewshub

