SEREMBAN: Bayi perempuan berusia setahun meninggal dunia selepas dikatakan diambil ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri dari rumah pengasuh dekat Bandar Sri Sendayan, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, berkata pihaknya menerima maklumat pertama kematian mengejut bayi itu pada jam 6.26 petang.
Hasil siasatan awal, katanya mendapati ibu mangsa mengambil bayinya dari rumah pengasuh dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah klinik swasta di Bandar Sri Sendayan oleh ibunya pada jam 5.50 petang.
“Doktor bertugas berusaha melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum mendapati mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.
Susulan itu, katanya polis menahan pengasuh iaitu seorang wanita berusia 32 tahun pada hari sama bagi mengambil keterangan, namun dibebaskan dengan jaminan.
“Kami menjalankan siasatan dan mendapati mangsa dijaga pengasuh berkenaan sekitar lima bulan lalu, selain mangsa juga dikatakan berada dalam keadaan lemah sebelum kejadian ini.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat dan keputusan mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian abdomen.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan sehingga ini masih di peringkat siasatan,” katanya.
-Berita Harian


