KUALA LUMPUR – Selepas 15 tahun mencipta fenomena global, filem 3 Idiots akhirnya bakal kembali dengan sebuah sekuel yang dikatakan sedang dalam perancangan aktif dan telah “officially locked”, lapor portal hiburan antarabangsa Pinkvilla.
Menurut laporan eksklusif itu, kesemua pelakon utama – Aamir Khan, Kareena Kapoor Khan, R. Madhavan dan Sharman Joshi – dilaporkan bersetuju untuk kembali bagi projek mega arahan pengarah tersohor, Rajkumar Hirani.

Filem asal yang diterbitkan pada 2009 bukan sahaja mencatat kutipan pecah panggung, malah menjadi karya ikonik yang terus relevan sehingga kini kerana mesejnya tentang tekanan akademik, persahabatan dan erti kejayaan sebenar.
Reunion Paling Dinanti Dalam Industri Bollywood
Sekuel baharu ini bakal menyaksikan gandingan semula Aamir Khan dan barisan pelakon asal yang kali terakhir bekerja bersama pada filem pertama 3 Idiots.
Kejayaan filem tersebut menjadikannya antara naskhah paling berpengaruh dalam sinema India moden, sekaligus meningkatkan jangkaan terhadap sambungan ceritanya.
Penerbit terkenal, Vidhu Vinod Chopra, turut dikatakan kembali menyertai projek tersebut bersama Hirani dan Aamir Khan, menjadikan ia kolaborasi besar dalam industri Bollywood.
Plot Masih Dirahsiakan, Peminat Teruja
Setakat ini, butiran mengenai jalan cerita 3 Idiots 2 masih dirahsiakan, namun spekulasi awal menyebut filem ini mungkin menampilkan kehidupan Rancho, Farhan dan Raju selepas menempuhi dunia kerjaya serta cabaran baharu dalam kehidupan dewasa.
Di media sosial, peminat dari seluruh dunia meluahkan keterujaan mereka sebaik sahaja berita ini tersebar, dengan ramai menganggap ia sebagai “reunion paling bersejarah” dalam dunia perfileman India.
Fenomena 3 Idiots Kekal Sepanjang Zaman
3 Idiots bukan sekadar filem komedi-drama, tetapi menjadi karya yang mengubah perspektif masyarakat terhadap sistem pendidikan dan tekanan akademik yang melampau.
Dialog-dialog ikonik seperti “All is well” dan babak-babak lucu serta menyentuh hati menjadikan ia evergreen sehingga kini.
Dengan pengumuman terbaharu ini, ramai menjangkakan 3 Idiots 2 bakal menjadi antara filem paling dinantikan dalam dekad ini.
Mynewshub akan melaporkan perkembangan lanjut sebaik maklumat rasmi diumumkan oleh produksi.
