LABUAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemukan maut dalam kereta yang ditinggalkan di kawasan perindustrian Kampung Muslim, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 9.10 pagi daripada seorang mekanik yang menghidu bau busuk pada 8.45 pagi sebelum menemukan mayat itu.
Beliau berkata, kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai Budin Jimsalim daripada suku Bajau dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Mekanik itu menghidu bau busuk semasa mahu mengalihkan kereta Proton Gen-2 yang ditinggalkan berhampiran bengkel sejak Jun 2025,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Mohd Hamizi berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Labuan untuk bedah siasat dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Siasatan lanjut dilakukan pegawai penyiasat Balai Polis Rancha-Rancha dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tampil membantu.
Mohd Hamizi menasihatkan orang ramai untuk mengawasi pergerakan anak, terutamanya mereka yang berkeperluan khas atau cenderung keluar tanpa pengawasan untuk mengelak kejadian tidak diingini.
Bernama-


