Kuala Lumpur: Enam kontena yang mengandungi minuman keras disyaki diseludup ditemui ketika serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terhadap sebuah gudang di Lorong Ding Lik Kwong, Sibu, di Sarawak, kelmarin.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Siti Mang berkata, kesemua kontena bersaiz enam meter berkenaan ditemui oleh Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) disembunyikan dalam sebuah gudang.
“Pemeriksaan yang dijalankan terhadap enam kontena berkenaan ditemukan minuman keras dipercayai barang larangan dianggarkan sebanyak 104,544 liter.
“Pemeriksaan 100 peratus terhadap kontena masih dijalankan bagi mengesahkan kuantiti, nilai dan cukai yang sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, JKDM percaya gudang itu dijadikan lokasi transit bagi minuman keras berkenaan sebelum diedarkan ke pasaran.
Katanya, taktik itu berjaya dihidu hasil kerjasama pegawai dan anggota Bahagian Penguat Kuasa JKDM di ibu pejabat dan JKDM Sarawak.
“Pengimportan minuman keras adalah tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kastam sebagaimana digariskan mengikut Butiran 67, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Minuman keras yang diimport perlu dilekatkan dengan setem cukai seperti digariskan mengikut Butiran 3, Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah yang sama,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 bergantung jumlah yang lebih besar.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh disalurkan melalui:
Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam berhampiran dan identiti pengadu dirahsiakan.
-Harian Metro


