KUANTAN, 24 Nov – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun selepas disyaki memiliki hampir satu kilogram ganja yang dibeli secara dalam talian dalam serbuan di sebuah bengkel besi di Kampung Sungai Karang Darat, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu dilakukan oleh Ketua Balai Polis Beserah bersama pasukan anggota berdasarkan maklumat risikan.
“Hasil pemeriksaan lanjut di bengkel tersebut menemukan sebuah kotak mengandungi dadah jenis ganja seberat 990.32 gram.
“Turut dirampas ialah satu kotak berisi tiga pucuk pistol yang dipercayai tiruan serta satu paket plastik bebola besi,” katanya dalam kenyataan akhbar.
Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai jurutera di sebuah industri perkilangan di Gebeng itu turut mengusahakan bengkel besi bersebelahan rumahnya dan mengaku membeli ganja melalui platform dalam talian sebelum ia dihantar ke alamat kediamannya.
“Suspek turut membeli pistol mainan secara dalam talian dan mengubah suai menggunakan ball bearing untuk kegunaan peribadi,” jelasnya.
Ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif THC, namun tidak mempunyai rekod lampau.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,700.
Suspek direman sehingga 30 November bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup bagi Seksyen 39B, manakala Seksyen 36 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.
Ashari menegaskan Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan atau pengedaran dadah.
“Dadah adalah musuh nombor satu negara. Orang awam digesa menyalurkan maklumat melalui hotline JSJN di 012-2087222,” katanya.
— Mynewshub

