ADDIS ABABA: Tidak seperti segala kekecohan di tanah air mengenai penggunaan pesawat sewaan untuk membawa delegasi Malaysia diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya, pesawat Airbus A330-500 digunakan delegasi Perdana Menteri terbang dengan amat lancar merentas separuh dunia sebelum mendarat di sini pada jam 4.10 petang waktu tempatan semalam (9.10 malam waktu Malaysia).
Permaidani dibentangkan di balai ketibaan yang dipenuhi barisan kawalan kehormatan serta penari berpakaian warna-warni yang membuat persembahan penuh semangat mengikut irama muzik budaya tempatan digabungkan dengan lagu-lagu Malaysia, termasuk Saya Anak Malaysia, sambil menyambut ketibaan Perdana Menteri dan rombongannya.
Kejutan tambahan apabila Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali sendiri kemudian memandu kenderaan membawa Anwar keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bole mengelilingi bandar sebelum ke Muzium Sains yang terletak kira-kira 30 minit dari lapangan terbang, selain ke Friendship Park untuk menikmati kehijauan dan landskap di destinasi pelancongan popular itu.
Anwar kemudian dibawa ke Hotel Sheraton di sini untuk berehat setelah penerbangan yang panjang, manakala Dr Abiy memuat naik di platform media sosial X kemudian bahawa lawatan Perdana Menteri Malaysia itu sebagai tanda persahabatan yang semakin erat dan solidariti antara kedua-dua negara, hadir pada waktu yang penting bagi Malaysia dan Ethiopia.
Anwar membalas hantaran rakan sejawatannya, menyatakan bahawa beliau tersentuh dengan sambutan hangat yang diberikan dan berharap lawatannya dapat memperkukuhkan hubungan Malaysia–Ethiopia, selain merintis kerjasama strategik yang lebih mendalam. Beliau juga menjelaskan, hubungan Malaysia–Ethiopia telah terjalin sejak sekitar 60 tahun lalu yang berteraskan persahabatan sejati, saling menghormati serta solidariti sebenar.
Perdana Menteri mempunyai jadual padat hari ini dengan lawatan ke Muzium Peringatan Kemenangan Adwa untuk memulakan lawatan rasminya. Muzium ini mercu tanda budaya utama yang dibina untuk memperingati kemenangan bersejarah Ethiopia dalam Pertempuran Adwa pada 1896. Ia berdiri sebagai simbol kebebasan Afrika dan pemerkasaan masyarakat kulit hitam, menarik semakin ramai pelawat dan menjadi lokasi pelbagai acara kebangsaan.
Muzium berkenaan juga simbol meraikan bukan sahaja kemenangan ketenteraan, tetapi juga kisah diplomasi, keberanian, perpaduan dan kebanggaan negara. Selepas lawatan ini, Anwar dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Ethiopia, Taye Atske Selassie di Pusat Konvensyen Antarabangsa Addis.
Ethiopia, negara daratan paling ramai penduduk di dunia adalah rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023 dan menjadi menjadi persinggahan pertama Anwar dalam lawatannya ke benua Afrika. Dari Addis Ababa, Anwar akan meneruskan lawatan kerja ke Johannesburg, Afrika Selatan dari 20 hingga 23 November untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 dan kemudian ke Nairobi, Kenya dari 23 hingga 24 November sebelum pulang ke tanah air.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut dijadual menghadiri Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia–Ethiopia dan sebelah petang, satu majlis sambutan rasmi akan diadakan di Istana Negara Ethiopia, di mana Perdana Menteri akan memeriksa kawalan kehormatan dan upacara menanam ‘Pohon Persahabatan’.
Perdana Menteri juga dijadual melawat Istana Negara yang mempamerkan sejarah dan budaya Ethiopia serta mengadakan pertemuan empat mata dengan Dr Abiy. Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang kesihatan, perjanjian perkhidmatan udara dan bidang pelancongan.
Selain itu, dokumen kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pentadbiran Bandar Addis Ababa mengenai mekanisme untuk mengekalkan dialog strategik dan membuka ruang kerjasama jangka panjang antara kedua-dua negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bersama pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan turut serta dalam rombongan Perdana Menteri ke negara ini.
BHonline-


