CYBERJAYA, 4 November 2025 – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus memperkukuh budaya inovasi dan integriti dalam kalangan warganya melalui penganjuran Majlis Sambutan Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2025 (HII 2025) yang berlangsung meriah di Dewan Bangsawan, Menara HASiL, Cyberjaya.
Majlis tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube rasmi HASiL Malaysia.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, bersama Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, barisan Anggota Lembaga LHDNM serta pegawai kanan HASiL.
Transformasi Digital dan Tadbir Urus Mampan
Dalam ucapannya, Hui Ying menzahirkan rasa bangga terhadap HASiL yang tampil sebagai agensi kerajaan proaktif dalam memperkukuh transformasi digital sektor awam.

Beliau menekankan bahawa pelaksanaan e-Invois secara menyeluruh mulai 2026 serta Sistem Taksir Sendiri Duti Setem merupakan sebahagian usaha kerajaan memperkasa tadbir urus fiskal yang mampan, mengurangkan kebergantungan kepada sumber tradisional, dan memastikan sistem percukaian negara kekal relevan serta mesra rakyat.
Inovasi dan Integriti Asas Kecemerlangan
Sementara itu, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin menegaskan bahawa inovasi dan integriti bukan sekadar slogan tahunan, sebaliknya merupakan teras utama dalam melahirkan warga kerja yang tangkas, bermotivasi tinggi dan berorientasikan kecemerlangan jangka panjang.

Beliau berkata, “Apabila inovasi dibudayakan, organisasi akan lebih agile, tangkas menghadapi perubahan dan berupaya mencipta nilai baharu yang memberi manfaat kepada rakyat.”
10 Produk Baharu dan 7 Pertandingan Dilancar
Bersempena sambutan HII 2025, HASiL melancarkan 10 produk baharu yang merangkumi aspek teknologi dan perkhidmatan profesional, antaranya:
1. Pelan Pendidikan Pembayar Cukai (PPPC) HASiL 2026–2030
2. e-EOT (Permohonan lanjutan masa dalam talian)
3. e-Daftar eKYC (Pendaftaran TIN individu bukan warganegara)
4. Modul Pemantauan Guaman Sivil (XC18) di bawah HiTS
5. Pakaian Rasmi Konsultan HASiL
6. TEKAD HASiL 2026–2030
7. Verint Intelligent Virtual Assistant (IVA) untuk Chatbot dan Voicebot
8. Dashboard Tugasan Pengurusan Hasil
9. Sistem e-TT 2.0 (Virtual Account untuk bayaran cukai)
10. Maskot HASiL
Selain itu, tujuh (7) pertandingan turut dianjurkan, antaranya Anugerah Inovasi CEO (AICEO), Pertandingan IDEA@HASiL, Video Pendek Inovasi, Kembara Inovasi HASiL, dan Pertandingan Doodle Integriti.
HASiL Kekal Komited Ke Arah Ekosistem Percukaian Mampan
HASiL menegaskan bahawa gabungan integriti dan inovasi merupakan tunjang kejayaan jangka panjang organisasi.
Sinergi kedua-dua elemen ini diyakini mampu memperkukuh ekosistem percukaian negara yang cekap, telus, dan mampan selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 atau melalui portal rasmi www.hasil.gov.my. – MYNEWSHUB
Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL)
Tarikh: 4 November 2025


