SOOK: Jika bacaan kempen pada seminggu pertama menjadi ukuran, rata-rata anak muda mahu perubahan dan melihat calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup sebagai pilihan terbaik untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Membawa pembangunan di Sook dan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan di daerah pedalaman Sabah itu menjadi harapan terbesar anak-anak muda, manakala masalah geran tanah, air dan jalan antara isu lain yang dibangkitkan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pensiangan, Linus Gorusan berkata, melihat kepada rekod pilihan raya terdahulu, 75 peratus atau bersamaan dengan 15,000 hingga 16,000 keluar mengundi.
“Daripada keseluruhan pengundi di DUN N45 Sook, saluran anak muda mewakili 60 peratus, jadi kalau 60 peratus ini keluar mengundi calon BN mempunyai peluang yang baik.
“Selepas seminggu berkempen dan telah memasuki semua 12 PDM (Pusat Daerah Mengundi), denyut anak muda banyak kepada Dato’ Sri Arthur, kalau ini berterusan sehingga hari mengundi, peluang kita (menang) memang cerah,” katanya ketika ditemui.
Menurut Linus, BN bertuah kerana prestasi cemerlang Arthur sebagai Ahli Parlimen Pensiangan telah meyakinkan golongan muda, yang rata-rata tidak minat berpolitik, sebaliknya hanya mahu melihat keputusan serta kemajuan yang mampu dibawa oleh calon wakil rakyat mereka.
Linus yang akan mengundi di DUN Sook pada PRN17 berkata, sokongan padu yang diberikan oleh jentera UMNO dan Pakatan Harapan (PH) kepada Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur membuatkan penyokong kesemua parti terlibat utuh menyokong calon BN.
“Calon dari UMNO bertanding di DUN Nabawan (Laiji Ompongoh) dan calon PH (Datin Rufinah Pengeran) di Tulid, kami semua saling menyokong kesemua calon ini tanpa berbelah bagi, ini yang menjadikan kempen kita lebih kuat,” katanya.- MYNEWSHUB


