SHAH ALAM: Pejabat Menteri Besar Selangor menyifatkan dakwaan ke atas seorang pegawai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memiliki sebuah banglo bernilai RM3 juta selain turut menikmati percutian mewah, berniat jahat dan bermotifkan politik.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pejabat Menteri Besar Selangor berkata, dakwaan liar yang dibuat dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp ketika Amirudin sedang membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor pada Jumaat lalu itu, jelas berunsur fitnah, menyeleweng dan tidak berfakta ataupun sebarang asas.
“Laporan kepada pihak berkuasa berkenaan fitnah ini akan dibuat oleh pegawai terbabit sebagai elemen kebertanggungjawaban untuk kita sama-sama memperbetulkan fokus kepada agenda membangunkan negeri dan mengangkat martabat rakyat, bukan dengan politik tidak matang melalui pembinaan persepsi jahat, liar dan palsu,” kata kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan merujuk kepada beberapa laporan berita yang memetik sumber Whatsapp liar tidak dikenali yang merujuk kepada seorang pegawai di Pejabat Menteri Besar Selangor.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Amirudin diminta menjawab persoalan mengenai kekayaan tidak dapat dijelaskan, didakwa membabitkan seorang pegawainya, yang dipercayai turut memegang terlalu terlalu banyak jawatan di bawah kerajaan negeri.
Permintaan itu dibuat dalam satu kumpulan WhatsApp ‘MB Selangor’ yang diwujudkan khas untuk tujuan berkenaan dan dikendalikan oleh seorang pentadbir yang hanya dikenali sebagai ‘Madani’.
Selain Amirudin, yang nombor telefonnya disahkan, kumpulan sembang itu turut disertai beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor daripada kerajaan dan pembangkang, beberapa pemimpin parti politik, serta sekurang-kurangnya dua wartawan, termasuk seorang daripada portal berita yang melaporkan berita berkenaan.
BHonline-


