TEL AVIV – Bekas penasihat undang-undang tertinggi Tentera Israel (IDF), Mejar Jeneral Yifat Tomer-Yerushalmi, kini berdepan siasatan polis selepas didakwa meluluskan kebocoran video penderaan tahanan tentera, dalam tindakan yang dilihat berpunca daripada rasa kecewa terhadap tekanan politik dan pengabaian pihak atasan.
Tomer-Yerushalmi yang baharu meletakkan jawatan minggu lalu sebagai Peguam Tentera Agung IDF, sebelum ini mengakui membocorkan rakaman sulit yang menunjukkan penderaan teruk terhadap seorang tahanan Palestin di kem tentera Sde Teiman pada tahun lalu.
Namun, sehari selepas pengakuan itu, beliau dilaporkan hilang selama beberapa jam dan ditemui dalam keadaan lemah di pantai Hof Hatzuk, Tel Aviv pada Ahad.
Pihak berkuasa menemui keretanya bersama nota yang menyerupai nota bunuh diri, mencetuskan kebimbangan bahawa beliau mungkin berada dalam tekanan psikologi yang serius.
Dalam transkrip soal siasat yang didedahkan oleh Channel 12 News, Tomer-Yerushalmi memberitahu bahawa beliau “tidak mengingati apa-apa” tentang tempoh kehilangannya mahupun lokasi telefonnya, yang dipercayai dibuang ke laut bagi melindungi maklumat sulit.
Rakaman mesej kumpulan WhatsApp yang dibocorkan kepada media menunjukkan bahawa Tomer-Yerushalmi telah memberi lampu hijau untuk pendedahan video penderaan itu, selepas pemimpin kanan kerajaan termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengkritik keras penahanan beberapa askar yang terlibat.
Dalam mesej tersebut, tujuh pegawai kanan Pejabat Pendakwa Tentera berbincang mengenai dua pilihan, sama ada memberi taklimat tertutup kepada media atau melakukan ‘kebocoran terarah’.
Tomer-Yerushalmi memilih pilihan kedua dengan mesej berbunyi: “Kita ambil alih sendiri kali ini.”
Polis kini menahan beliau bersama bekas pendakwa tentera kanan, Kolonel Matan Solomosh, serta menyiasat dua lagi pegawai Pejabat Pendakwa Tentera yang dipercayai terlibat dalam kebocoran tersebut.
Sumber kehakiman mendedahkan bahawa siasatan asal bermula selepas ujian pengesan pembohongan terhadap seorang pegawai komunikasi tentera mendedahkan kewujudan kumpulan sembang yang menjadi tempat perbincangan rahsia itu.
Krisis berkenaan turut menjejaskan Peguam Negara, Gali Baharav-Miara, selepas pendedahan bahawa pejabatnya sebelum ini menutup siasatan terhadap kebocoran tersebut. Beberapa pihak kini menuntut beliau menarik diri daripada sebarang penglibatan dalam siasatan baharu bagi mengelakkan konflik kepentingan.
Di tengah tekanan politik dan serangan peribadi, kumpulan penyokong kanan ekstrem Beitar Jerusalem turut memaparkan kain rentang yang menggambarkan Tomer-Yerushalmi berpakaian seperti anggota Hamas — satu tindakan yang dianggap sebagai cubaan mempermalukannya di khalayak ramai.
Pemerhati melihat skandal ini sebagai gambaran jelas bagaimana pegawai kanan yang cuba membongkar salah laku tentera akhirnya menjadi sasaran dan diabaikan, sementara isu penderaan tahanan yang mencetuskan kebocoran tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya.
–Agensi


