KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menafikan tohmahan beberapa pihak menuduhnya tidak mengambil berat nasib penduduk di kawasannya dilanda banjir semalam, tetapi sempat berkaraoke di Sabah.
Katanya, fitnah itu tersebar melalui media sosial, termasuk TikTok dan Facebook yang mendakwanya berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, Semporna untuk membantu calon berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan sempat berkaroke.
“Memang benar saya turun berkempen pada 20 November di DUN Sulabayan, Sabah untuk membantu kempen calon daripada AMANAH dan juga dari Pakatan Harapan.
“Saya hanya karaoke satu lagu nyanyian Jamal Abdillah. Itupun atas permintaan masyarakat di hadapan pengundi dan saya tidak menyanyi dengan anak dara orang, jam 2 atau 3 pagi.
“Banjir pula berlaku pada 24 November. Saya ambil keputusan balik segera, semalam saya ambil penerbangan dan sampai di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) 1.30 tengah hari balik rumah, tukar pakaian dan masuk Parlimen,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook, seorang netizen memuat naik status yang menyatakan ‘Hulu Langat banjir. Ahli parlimen PAN sibuk karaoke di Sabah’.
Mohd Sany berkata, sejak malam tadi beliau sudah bertemu penduduk dan meninjau keadaan banjir serta dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Batu 10 dan Kampung Sungai Serai.
“Pagi tadi saya melawat calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan rasa dalam persoalan ini, kita tak nak main politik. Cukuplah. Saya maafkan mereka yang menabur fitnah, cuma jangan buat lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Sany menggesa semua pihak bekerjasama membantu rakyat yang menghadapi musibah banjir dan mendoakan keselamatan mereka.
“Kerajaan telah meluluskan hampir RM512 juta untuk projek tebatan banjir Sungai Langat dan berharap projek ini dapat disegerakan demi kesejahteraan penduduk Hulu Langat yang kerap dilanda banjir,” katanya.
BHonline-


