7 Pendaki Maut Ditimpa Runtuhan Salji di Nepal
04 November 2025
Oleh: Mynewshub
KATHMANDU – Sekurang-kurangnya tujuh pendaki dilaporkan maut selepas runtuhan salji melanda sebuah kem penjelajahan di Nepal semalam.
Menurut laporan The Kathmandu Post, kejadian berlaku di Kem Asas Yalung Ri pada ketinggian 5,630 meter dari aras laut.

Antara mangsa yang terkorban ialah tiga warga Amerika Syarikat, dua warga Nepal, seorang warga Itali dan seorang warga Kanada.
Selain itu, empat lagi pendaki dilaporkan cedera, manakala empat lagi masih hilang dan usaha mencari mereka terpaksa ditangguhkan sehingga waktu pagi berikutan keadaan cuaca yang buruk serta risiko runtuhan susulan.
Kem Asas Yalung Ri merupakan lokasi tumpuan para pendaki yang sedang berusaha menawan puncak Dolma Khang setinggi 6,332 meter.
Pihak berkuasa Nepal telah menggerakkan pasukan penyelamat khas bagi operasi mencari dan menyelamat sebaik sahaja cuaca mengizinkan.
Nepal, yang menjadi destinasi terkenal bagi aktiviti pendakian dunia, sering berdepan insiden runtuhan salji terutama di kawasan pergunungan Himalaya yang berisiko tinggi pada musim sejuk.— Mynewshub
