PETALING JAYA: “Semoga Allah melaknat kau. Kau tunggu, botak (menunjukkan jari ke arah pegawai penyiasat, Deputi Superintendan Mohd Hafizee Ismail).”
Demikian reaksi suami kepada Ismanira Abdul Manaf, Zaim Ikhwan Zahari, selepas Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan peguam, Haresh Mahadevan, supaya hukuman penjara ke atas wanita itu ditangguhkan.
Zaim Ikhwan yang dilihat gagal mengawal perasaan ketika itu kemudian dihalang serta cuba ditenangkan beberapa ahli keluarga, termasuk ibu bapanya yang berada di galeri awam, sebelum dibawa keluar.
Haresh dalam hujahan, memohon mahkamah menangguhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas didapati bersalah mengabaikan anak lelakinya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, dua tahun lalu.
Beliau berkata, pihak pembelaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ismanira selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya itu yang juga kanak-kanak autistik.
Hakim Dr Syahliza Warnoh menetapkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan.
Mahkamah juga memerintahkan Ismanira menandatangani bon berkelakuan baik dalam tempoh dua tahun dengan seorang penjamin warga tempatan, berserta cagaran RM3,000.
Selain itu, mahkamah mengarahkan Ismanira menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman pemenjaraan.
Pada 21 Julai lalu, Ismanira diperintah membela diri, manakala Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka itu, dua tahun lalu.
Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan dikemukakan terhadap Ismanira, manakala gagal membuktikan kes pendakwaan terhadap suaminya.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan berusia enam tahun (ketika kejadian), didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, hingga ke kawasan sungai berdekatan apartmen berkenaan antara jam 12 tengah hari 5 Disember dan jam 9.55 malam 6 Disember 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Kedua-dua tertuduh pula diwakili peguam, Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Berikut kronologi mengenai kes kehilangan dan pembunuhan Zayn Rayyan
5 Disember 2023 – Ibu Zayn Rayyan berkongsi kisah kehilangan anaknya di Facebook.
6 Disember 2023
● Operasi pencarian babitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan anjing pengesan K9 di sekitar kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai.
● Ibu Zayn Rayyan dakwa anaknya hilang ketika menaiki tangga di Blok R, kediaman mereka sekitar tengah hari pada 5 Disember.
● Keluarga kanak-kanak itu ikhtiar perubatan secara Islam dan adakan solat hajat.
● 9 malam: Operasi pencarian oleh penduduk dan polis sekitar Apartment Idaman babitkan 2,482 unit kediaman.
● 10 malam: Mayat Zayn Rayyan ditemukan di anak sungai, 100 meter dari kediaman keluarganya oleh penduduk.
● Lokasi anak sungai tempat mayat Zayn Rayyan ditemui adalah kawasan pencarian yang sudah dilakukan Unit Anjing Pengesan (K9) sebanyak tiga kali.
● Pada mulanya, penemuan mayat Zayn Rayyan diklasifikasikan polis sebagai kematian mengejut (SDR).
7 Disember 2023
● Keluarga Zayn Rayyan masih tunggu laporan bedah siasat.
● 5 petang: Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan Zayn Rayyan dibunuh, bedah siasat dapati ada kecederaan pada tubuh badan mangsa.
● Kes diklasifikasi sebagai kes bunuh dan disiasat ikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
● Jenazah Zayn Rayyan dikebumikan di Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara.
● 6 petang: Lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan ditutup polis yang mula mencari bukti.
8 Disember 2023 – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum ditinggalkan di anak sungai tempat penemuannya.
10 Disember 2023
● Polis mencari bukti di sebuah stor berhampiran Blok R selain mengambil sampel di kediaman Zayn Rayyan
● Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata setakat ini sebanyak 48 individu diambil keterangan babitkan ahli keluarga, jiran dan saksi-saksi.
● Sampel DNA diambil daripada 228 penduduk perumahan itu.
● Pemeriksaan dibuat terhadap 5,628 penghuni babitkan 2,484 kediaman perumahan itu.
13 Disember 2023
● Polis temui sehelai stokin dalam takungan air di anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan dijumpai selepas dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor yang menyedut keluar takungan air di lokasi itu.
● Polis tahan tiga individu dipercayai positif dadah di Apartment Damai hasil saringan DNA kes Zayn Rayyan tetapi tidak berkait kes bunuh itu.
14 Disember 2023
● Polis dapat maklumat dua saksi dakwa terlihat Zayn Rayyan di tingkat dua dan tiga Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 5 petang, hari mangsa dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023.
● Sebanyak 86 keterangan dan 238 DNA sudah diambil polis setakat ini.
23 Disember 2023 – Bukit Aman minta bantuan Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi mendapatkan bantuan dalam semakan pangkalan data berkaitan beberapa maklumat yang diperoleh hasil siasatan kes bunuh Zayn Rayyan.
28 Disember 2023 – Polis mengeluarkan kenyataan tidak menutup siasatan kes bunuh Zayn Rayyan meskipun tiada petunjuk baharu setakat ini.
7 Januari 2024 – Polis mengesahkan menerima menerima maklumat INTERPOL namun secara am.
6 Februari 2024 – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor tawar ganjaran RM20,000 kepada pihak yang salur maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh Zayn Rayyan.
21 Mac 2024
● Polis nafi lambat bertindak dalam siasatan pembunuhan Zayn Rayyan.
● Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, tegaskan polis berusaha sejak hari pertama Zayn Rayyan dilaporkan hilang.
8 Mei 2024 – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, tegaskan polis tidak pernah menutup siasatan kes bunuh Zayn Rayyan dan masih menanti petunjuk baharu.
31 Mei 2024 – KP Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan ibu bapa Zayn Rayyan ditahan di Puncak Alam, Selangor, pada jam 10 pagi.
1 Jun 2024 – Ibu bapa Zayn Rayyan direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
7 Jun 2024 – Mahkamah Sesyen Petaling Jaya membenarkan tempoh reman pasangan suami isteri berusia 29 tahun dilanjutkan selama enam hari lagi sehingga 13 Jun.
10 Jun 2024 – Polis membawa ibu Zayn Rayyan ke Apartment Idaman Damasara Damai untuk melakonkan semula situasi kejadian semasa kehilangan Zayn Rayyan sehingga kepada penemuan mayat kanak-kanak itu.
12 Jun 2024 – Ibu Zayn Rayyan dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi mendapatkan pengakuan salah wanita itu berhubung siasatan kes. Polis turut menahan datuk dan nenek Zayn Rayyan bagi membantu siasatan.
13 Jun 2024 – Ibu dan bapa Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
21 Januari 2025 – Ibu bapa Zayn Rayyan memohon Mahkamah Tinggi Shah Alam agar dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan mengabai kanak kanak-kanak autisme itu.
3 Februari 2025 – Perbicaraan kes ibu bapa Zayn Rayyan bermula di Mahkamah Sesyen.
24 April 2025 – Pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 28 saksi pendakwaan sepanjang 20 hari perbicaraan.
7 Jun 2024 – Mahkamah Sesyen Petaling Jaya membenarkan tempoh reman pasangan suami isteri berusia 29 tahun dilanjutkan selama enam hari lagi sehingga 13 Jun.
10 Jun 2024 – Polis membawa ibu Zayn Rayyan ke Apartment Idaman Damasara Damai untuk melakonkan semula situasi kejadian semasa kehilangan Zayn Rayyan sehingga kepada penemuan mayat kanak-kanak itu.
12 Jun 2024 – Ibu Rayyan dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi mendapatkan pengakuan salah wanita itu berhubung siasatan kes. Polis turut menahan datuk dan nenek Zayn Rayyan bagi membantu siasatan.
13 Jun 2024 – Ibu dan bapa Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
21 Januari 2025 – Ibu bapa Zayn Rayyan memohon Mahkamah Tinggi Shah Alam agar dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan mengabai kanak kanak-kanak autisme itu.
3 Februari 2025 – Perbicaraan kes ibu bapa Zayn Rayyan bermula di Mahkamah Sesyen.
24 April 2025 – Pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 28 saksi pendakwaan sepanjang 20 hari perbicaraan. Mahkamah tetapkan 21 Julai sama ada ibu bapa Zayn perlu membela diri atau dibebaskan.
21 Julai 2025 – Ismanira diperintah bela diri, manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
26 Julai 2025 – Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tetapkan 18 September tarikh baharu sebutan semula kes terhadap ibu bapa Zayn Rayyan.
5 Ogos 2025 – Ismanira selesai bela diri dengan lima saksi beri keterangan. Keputusan sama ada Ismanira disabitkan salah atau bebas diputuskan pada 31 Oktober 2025.
31 Oktober 2025
● Ismanira Abdul Manaf didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana mengabaikan Zayn Rayyan hingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, dua tahun lalu.
● Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Ismanira, di akhir kes pembelaan.
● Ismanira dijatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana cuai hingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada Zayn Rayyan.
● Hukuman diputuskan terhadap Ismanira Abdul Manaf selepas tertuduh didapati bersalah atas tuduhan pengabaian yang mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap Zayn Rayyan dua tahun lalu.
-Berita Harian


