Petaling Jaya: Ismanira Abdul Manaf iaitu ibu kepada kanak-kanak lelaki autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana bersalah mengabaikan anak lelakinya itu akan dibawa ke Penjara Kajang, hari ini.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh, yang menolak permohonan peguam bela Ismanira, Haresh Mahadevan untuk menangguhkan hukuman sementara memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Beliau berkata, mahkamah tidak menemui sebarang keadaan khusus yang mewajarkan penangguhan itu.
“Tiada sebab yang meyakinkan saya untuk menangguhkan hukuman. Alasan untuk menjaga seorang lagi anak autisme adalah urusan peribadi yang boleh diuruskan oleh keluarganya.
“Tertuduh akan dipenjarakan serta-merta,” katanya.
Terdahulu, mahkamah mengarahkan Ismanira, 30, menjalani hukuman itu hari ini.
Mahkamah juga memerintahkan Ismanira menandatangani bon berkelakuan baik dalam tempoh dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan, berserta cagaran RM3,000.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan Ismanira menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dan perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman pemenjaraan.
-Berita Harian


