PETALING JAYA: Datuk kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin yang ditemui maut pada Disember 2023, mendakwa pihak polis gagal menjalankan siasatan penuh berhubung kes itu kerana pembunuh sebenar masih tidak dikesan hingga kini.
Zahari Mohd Reba, 57, mendakwa bahawa pembunuh sebenar cucunya itu masih bebas di luar hingga kini, sekali gus menggesa polis menjalankan siasatan dengan telus dan adil.
“Keputusan hari ini sudah kita ketahui dan keluarga kami akur. Cuma, kami ingin tahu status kes pembunuhan Zayn Rayyan.
“Selama dua tahun, keluarga kami dianiaya dan difitnah dalam media sosial tetapi kami sabar kerana ini sudah ketentuan Allah SWT.
“Namun, kami tetap berdoa semoga mereka yang memfitnah kami akan mendapat balasan tidak kira di dunia atau akhirat,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Seksyen di sini, hari ini.
Terdahulu, bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilihat keluar dari mahkamah dalam keadaan sugul dengan ditemani ahli keluarganya.
Ia selepas isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan pengabaian yang mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap Zayn Rayyan yang berusia enam tahun ketika kejadian.
Dalam pada itu, Zahari berkata, keluarganya memohon supaya adik kepada Zayn Rayyan yang kini berada bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), diserahkan kepada mereka untuk dijaga.
“Kami perlu menjaga emosinya, jadi kami minta JKM untuk menyerahkannya kepada kami. Dia cucu saya dan kami sanggup melakukan apa saja untuknya,” katanya.
-Berita Harian


