KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa mengadakan sidang tergempar bagi mengecam tindakan tentera Israel memintas dan menyerang kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
PKR melalui Biro Hal Ehwal Antarabangsanya, turut menggesa badan dunia itu meluluskan langkah bagi melindungi misi kemanusiaan ke Gaza pada masa hadapan.
PKR menyifatkan tindakan biadab Israel itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap prinsip asas undang-undang antarabangsa dan menuntut maklum balas segera daripada masyarakat antarabangsa.
“GSF mewakili tindakan sah solidariti kemanusiaan yang dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa.
“Serangan Israel terhadap kapal ini bukan sahaja pelanggaran undang-undang maritim tetapi juga satu bentuk pembabitan dalam bencana kemanusiaan yang berterusan di Gaza,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Media melaporkan, pasukan keselamatan Israel menahan lebih 200 aktivis yang menyertai konvoi GSF dalam usaha menembusi sekatan maritim ke Gaza.
Aktivis yang ditahan berasal dari sekurang-kurangnya 37 negara, termasuk 12 orang dari Malaysia.
Sehingga jam 2.51 pagi waktu tempatan, 12 kapal yang menyertai misi itu disahkan dipintas oleh tentera laut Israel.
Pada masa sama, PKR juga menggesa negara lokasi kapal yang menyertai misi GSF didaftarkan, menggunakan hak mereka untuk melindungi kapal berkenaan, dengan memulakan prosiding undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab ke atas serangan itu.
“Pada masa sama, negara anggota Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) mesti memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran sistematik terhadap peruntukan konvensyen yang berkaitan kebebasan pelayaran.
“Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mesti menyegerakan siasatan terhadap situasi di Palestin, dengan memberi tumpuan khusus kepada sekatan sebagai satu potensi mekanisme genosid dan jenayah kelaparan,” katanya.
PKR menyatakan pendirian untuk terus berdiri teguh, bersolidariti bersama rakyat Palestin dan semua yang terbabit dalam misi kemanusiaan yang sah untuk meringankan penderitaan mereka.
“Masyarakat antarabangsa kini mesti melangkah lebih jauh, berbanding sekadar menyatakan keprihatinan terhadap tindakan konkrit yang menegakkan undang-undang antarabangsa dan melindungi nyawa orang awam,” katanya.
BHonline-


