PUTRAJAYA: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Datuk Seri Najib Razak perlu dibebaskan daripada 25 tuduhan berkaitan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana setiap keterangan pembelaan disokong oleh bukti dokumen.
Muhammad Shafee yang mengemukakan hujahannya di akhir kes pembelaan, berkata malah anak guamnya itu yang juga bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sudah bertindak memulangkan baki`wang derma’ yang tidak digunakan kepada pemiliknya, iaitu Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi.
Muhammad Shafee menegaskan, Najib mempunyai segala bukti untuk menyokong keterangannya, berbanding keterangan dikemukakan bekas peguam 1MDB yang juga saksi penting pendakwaan, Jasmine Loo Ai Swan.
Katanya, tidak seperti Ai Swan, Najib memiliki dokumen bagi menyokong dakwaannya bahawa dana yang diterima adalah wang derma dan ia menyokong setiap transaksi termasuk empat surat derma serta semua dokumen berkaitan.
“Malah, anak guam saya sendiri memulangkan dana yang tidak digunakan semula kepada pemberi derma kerana beliau benar-benar percaya wang diterima adalah wang derma.
“Jasmine Loo pula bertindak dalam siri perlakuan yang meragukan. Apa yang penting, kami sudah membuktikan dan
Jasmine Loo sendiri mengakui bahawa dia seorang pelarian dan Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan) membantunya untuk masuk dan bergerak secara tidak sah.
“Dalam keterangannya dia percaya wang diterima daripada Jho Low adalah hasil usaha sama namun apabila diminta untuk ditunjukkan dokumen, dia tiada dokumen berkaitan.
“Maka persoalannya, bolehkah kita mempercayai dia selepas mengambil kira percanggahan dan pembohongan yang dilakukan?. Bolehkah kita percaya seorang peguam korporat yang asalnya daripada firma guaman terkenal di Kuala Lumpur tidak mempunyai walau satu pun dokumen untuk menyokong dakwaannya,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peguam bela Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, berhujah pihak pendakwaan gagal membuktikan bekas Ahli Parlimen Pekan itu mempunyai kepentingan langsung ke atas 1MDB seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.
Peguam itu berkata, jika pendakwaan menyatakan Najib mempunyai kepentingan langsung semata-mata kerana 1MDB dimiliki oleh Kementerian Kewangan, ia sebenarnya melemahkan lagi kes mereka.
Katanya, ia adalah kerana sebagai Menteri Kewangan, sudah tentu Najib mempunyai kepentingan di dalam syarikat yang dimiliki kerajaan.
Peguam itu selanjutnya berhujah, wujudnya ‘tingkah laku songsang’ dalam 1MDB apabila pengurusan tertinggi syarikat itu bertindak mengikut kehendak Jho Low dan bukannya arahan Lembaga Pengarah (BOD).
Wan Azwan Aiman berkata, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bertindak melampaui kuasa dan dengan sengaja menyembunyikan maklumat penting daripada BOD dan Kementerian Kewangan.
Menurut Wan Azwan Aiman, Shahrol Azral melantik Goldman Sachs bagi urusan perjanjian usaha sama (JVA) dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) tanpa terlebih dahulu mendapatkan pertimbangan BOD.
Beliau berkata, Shahrol Azral menerima arahan terus daripada Jho Low melalui surat-menyurat rahsia yang kemudian dimusnahkannya dan menyerahkan rundingan utama dengan Goldman Sachs serta IPIC sepenuhnya kepada ahli perniagaan dalam buruan itu.
Katanya, Shahrol Azral juga menandatangani perjanjian untuk mendapatkan hutang bernilai AS$1.75 bilion tanpa membaca keseluruhan dokumen, sebaliknya hanya berpandukan pada muka surat tandatangan.
“Walaupun Shahrol Azral sendiri mengakui berlaku kecuaian dan penipuan, pihak pendakwaan masih mahu mahkamah menerima keterangannya semata-mata berdasarkan dakwaan “semua keputusan mendapat restu Najib.
“Meskipun bukti menunjukkan beliau telah mengelirukan BOD, menerima arahan hanya daripada Low, dan menandatangani minit mesyuarat yang tidak pernah diadakan, pihak pendakwaan mahu mahkamah menutup mata terhadap kredibilitinya,” katanya.
Wan Azwan Aiman berkata, kebergantungan pendakwaan terhadap keterangan Shahrol Azral walau apa cara sekalipun, menunjukkan sikap berat sebelah yang mendalam terhadap Najib.
Prosiding hujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan.
BHonline-


