PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan kelayakan menikmati sistem subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kini diperluaskan kepada tiga kelompok baharu membabitkan lebih 31,000 rakyat di seluruh negara.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan peluasan itu merangkumi lebih 17,900 nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Ia juga membabitkan lebih 4,300 pemilik bot persendirian berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, serta lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu yang direkodkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Dengan peluasan ini, mereka kini sebahagian daripada lebih 16 juta rakyat yang menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi,” katanya.
Menurut MoF lagi, ia juga sedang memuktamadkan data tambahan membabitkan pengguna bot yang tidak mempunyai lesen memandu di negeri lain, khususnya Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, MoF memaklumkan, perbincangan antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dengan syarikat pengendali e-hailing sedang diselaraskan bagi pelaksanaan penambahan siling kelayakan melebihi 300 liter sebulan kepada pemandu sepenuh masa.
Langkah itu bertujuan memastikan kelangsungan pekerjaan pemandu e-hailing tidak terjejas oleh pelaksanaan subsidi bersasar terbabit.
“Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” menurut kenyataan itu lagi.
MoF turut memberi jaminan bahawa kementerian serta agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI MADANI atau menghubungi talian bantuan: 1-300-88-9595 dan WhatsApp: +603-2631 4595 untuk maklumat lanjut.
Portal berkenaan turut dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna.
Bernama-


