IPOH: Seorang pegawai polis maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kilometer 287.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini hari ini.
Inspektor Muhamad Helmi Hakim Muhamad Raus, 30, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata kemalangan sekitar jam 10 pagi itu membabitkan motosikal jenis Honda ditunggang mangsa dan sebuah Honda Waze ditunggang seorang lelaki Orang Asli berusia 34 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang lelaki Orang Asli itu dirempuh dari arah belakang oleh motosikal pegawai polis berkenaan.
“Mangsa yang cedera disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik,” katanya hari ini.
Jenazah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini untuk bedah siasat, manakala lelaki Orang Asli berkenaan hanya cedera ringan dan kes disiasat mengiikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BHonline-


