Kuala Lumpur: Seorang ibu mendakwa anak perempuannya, pelajar institusi pendidikan di bawah sebuah agensi agama dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas didakwa menjadi mangsa buli di asrama.
Menerusi hantaran di akaun Threads @Ifrance.s, wanita itu mendakwa kejadian berlaku pada 8 Oktober lalu apabila dia menerima panggilan daripada seorang ustazah memaklumkan anaknya, Nur Aisyah, mengalami sakit dada.
Dia kemudian dibawa ke sebuah klinik kesihatan, sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurutnya, doktor mengesahkan keadaan anaknya membimbangkan kerana bacaan jantung tidak stabil dan terus dirujuk ke ICU.
“Saya difahamkan kejadian ini berkait dengan kes membuli anak saya kerana tertulis di tangan Aisyah perkataan ‘pergi mampos’ dengan pen marker biru.
“Kami percaya kejadian hari ini berlaku susulan insiden membuli Aisyah baru-baru ini,” dakwanya yang ditulisnya dalam satu hantaran di Threads, hari ini.
Wanita itu berkata, anaknya masih dirawat dan dijadual menjalani pembedahan di Hospital Serdang, pada 23 Oktober.
“Saya bukan mahu mencari salah, tapi hati seorang ibu ini terlalu berat menanggung kecewa. Saya hantar dia ke asrama dengan penuh percaya… tapi sekarang kepercayaan itu retak,” katanya dalam hantaran sama.
Wanita itu turut mendedahkan perbualan bersama anaknya yang mendakwa semasa kejadian, tiada pengawas mengiringi, malah dia ditarik ke tandas, mata ditutup dan makanan dimasukkan ke mulutnya.
“Saya harap ada siasatan lebih lanjut dari pihak polis,” katanya.
Katanya, anaknya juga kini dirujuk kepada pakar psikiatri dan diberi ubat bagi membantu menenangkan diri.
Dalam hantaran itu, ibu berkenaan turut memohon doa orang ramai supaya kesihatan anaknya pulih dan kebenaran dalam kes berkenaan dapat ditegakkan.
Difahamkan, ibu kepada mangsa berkenaan sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berhubung kejadian terbabit.
Sementara itu, Harian Metro sedang mendapatkan maklum balas dan pengesahan daripada pihak polis berhubung dakwaan berkenaan.
-Harian Metro


