Sejak tahun 2019, tarikh 5 Oktober diangkat sebagai Hari Akademia Malaysia bagi menghargai jasa dan sumbangan warga akademik dalam pembangunan pendidikan tinggi negara.
Bertemakan “Integrasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan Tinggi”, sambutan kali ini menekankan peranan pendidikan tinggi dalam mendepani arus perubahan teknologi dan inovasi global, sekali gus memperkukuh daya saing negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, Hari Akademia bukan sekadar acara penghargaan, tetapi manifestasi penting untuk mengiktiraf sumbangan golongan ilmuwan sebagai tunjang pembangunan negara.
“Hari ini bagi saya bukan hanya sekadar pelancaran tetapi juga merupakan untuk kita merayakan majlis akademia iaitu golongan ilmuan yang dapat bersama-sama berhimpun…
“Hari Akademia adalah manifestasi penghargaan negara kepada para ilmuwan sekalian yang sentiasa memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Majlis Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai pada Jumaat.
Menurut Dr. Zambry, beliau menggesa agar budaya ilmu terus diperkasa dengan semangat keterbukaan, perbahasan sihat dan kerjasama antara warga akademia selain dunia akademik mesti meraikan pelbagai pandangan tanpa sifat taksub kepada satu aliran semata-mata.
“Bagi golongan ilmuwan ini, lagi banyak ilmunya, dia akan menunjukkan dari segi humilitinya. Kalau tidak, dia akan menghadapi satu masalah iaitu sentiasa merasakan hanya pandangannya yang benar,” ujarnya.
Malah, beliau turut menekankan bahawa sifat intellectual arrogance atau keangkuhan ilmu akan merencatkan perkembangan pendidikan tinggi jika tidak dibendung, sebaliknya keterbukaan dan sikap menghargai perbezaan pendapat mampu melahirkan ekosistem akademik yang lebih segar, inklusif dan produktif.
“Dunia akademik ini mesti ada keterbukaannya. Tidak boleh hanya mengatakan bahawa hanya pandangan kita sahaja yang benar.
“Kalau itulah sifatnya ada di kalangan kita, bermakna kita ini mempunyai satu penyakit. Satu penyakit iaitu Mr. Know-all ataupun the arrogance of knowledge,” kongsinya.
Pada majlis sama, Dr. Zambry turut melancarkan Kerangka AI Syariah USIM dan ‘Amazon Web Services (AWS) AI Talent Development for Higher Education Programme’.
Beliau juga menyampaikan dana penyelidikan fundamental Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) dan penarafan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) kepada penerima dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, Profesor Madya Dr. Nisar Mohammad Ahmad berkata, sambutan Hari Akademia perlu difahami bukan hanya acara penghargaan, sebaliknya sebagai agenda nasional penting yang mencorakkan masa depan pendidikan tinggi negara.
“Kita sudah ada Hari Guru yang sinonim dengan profesion keguruan, tetapi sebelum 2019 tiada hari khusus untuk meraikan pensyarah.
“Maka, Hari Akademia adalah langkah tepat untuk mengiktiraf warga akademia yang turut sama menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi negara,” katanya ketika ditemu bual MyNewsHub.

Menurut beliau, pendidikan tinggi memainkan peranan penting dalam membentuk cara fikir masyarakat dan melahirkan generasi berilmu serta berkemahiran.
Justeru, sambutan ini perlu diteruskan dengan pendekatan berbeza mengikut penganjur pada masa hadapan.
Mengulas peranan pensyarah dan penyelidik, Dr. Nisar menjelaskan sumbangan mereka tidak boleh dihadkan kepada kampus semata-mata.
“Pensyarah bukan hanya melaksanakan rutin pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga menghasilkan penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat.
“Hasil kajian dan konsultasi boleh dijadikan rujukan kerajaan dalam membuat dasar, selain menyumbang melalui community engagement, syarahan umum, media dan pelbagai platform ilmu,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut menitipkan harapan kepada generasi akademia muda supaya tampil sebagai peneraju masa depan dengan integriti yang tinggi.


