KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia mendakwa didera teruk apabila disimbah air panas, dipukul dan dipicit payudara hingga luka serta bernanah oleh majikannya di sebuah rumah di USJ, Subang Jaya, Selangor.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 19 Oktober lalu selepas seorang lelaki dimaklumkan oleh adiknya mengenai penderaan dialami pembantu rumah mereka.
“Berdasarkan siasatan, mangsa mendakwa mulutnya dimasukkan air panas kerana tidak memaklumkan kepada majikan bahawa dia mahu menggunakan kicap ketika makan.
“Selain itu, mangsa turut dipukul, dipicit payudara hingga bernanah serta ditendang sehingga giginya patah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan membawa kepada penahanan seorang wanita berusia 59 tahun kira-kira jam 1 pagi pada Isnin lalu, disusuli tangkapan terhadap suaminya semalam.
“Mangsa berjaya diselamatkan dan kes dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Kedua-dua suspek dituduh di Mahkamah Sesyen Klang hari ini atas kesalahan memperdagangkan dan mendera pembantu rumah mengikut Seksyen 13(a) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua tertuduh ditawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan pasport mereka diperintah diserahkan kepada mahkamah.
Muhamad Farid meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah supaya menyalurkannya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-8074 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
BHonline-


