TERKINI: KAPAL TERAKHIR BERANGKAT DARI ITALI BAWA PESERTA GLOBAL SUMUD FLOTILLA
KUALA LUMPUR, 1 Okt – Sebuah kapal besar yang dinamakan “Conscience” dilaporkan telah berlepas dari Itali beberapa jam yang lepas sebagai antara kapal terakhir menyertai misi Global Sumud Flotilla menuju ke Gaza.
Menurut maklumat daripada siaran langsung peserta di atas kapal, ia membawa seramai 100 orang aktivis antarabangsa termasuk 8 orang peserta dari Malaysia.
Difahamkan, kapal ini turut menempatkan pasukan perubatan (medik) yang bakal memberikan khidmat bantuan kesihatan kepada rakyat Palestin sebaik flotilla berjaya menembusi sekatan.
Flotilla ini adalah sebahagian daripada usaha terbesar masyarakat sivil dunia untuk menamatkan sekatan berpanjangan Israel ke atas Gaza.
Lebih daripada 50 kapal membawa aktivis, ahli politik, tokoh agama, doktor serta wartawan dari 44 negara kini bergerak ke arah perairan Gaza, menjadikannya konvoi kemanusiaan laut terbesar dalam sejarah moden.
Penyertaan peserta dari Malaysia, khususnya di kapal Conscience, memperlihatkan solidariti rakyat Malaysia yang berterusan terhadap perjuangan Palestin.
Kehadiran tenaga perubatan di atas kapal ini juga menandakan keutamaan flotilla bukan hanya sekadar membawa mesej politik, tetapi juga bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan.
Global Sumud Flotilla kini mendapat perhatian antarabangsa, dengan ramai pemerhati menjangkakan Israel akan mengambil tindakan keras untuk menghalang misi ini, sebagaimana tragedi flotilla sebelumnya. – MYNEWSHUB
#mynewshub


