SHAH ALAM: Rakyat boleh menyemak kelayakan program Budi MADANI RON95 (BUDI95) bermula Khamis ini melalui laman web www.budimadani.gov.my.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata bagi pengisian di pam minyak, pengguna hanya perlu memasukkan MyKad ke dalam ‘reader’ untuk mengesahkan kelayakan.
Beliau berkata, bayaran boleh dibuat sama ada secara tunai, kad kredit/debit atau e-dompet dan aplikasi.
Katanya, selepas selesai mengisi petrol, resit akan menunjukkan nilai transaksi pada harga pam, nilai subsidi ditanggung kerajaan dan jumlah yang dibayar pengguna pada harga RM1.99.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Media Penyasaran Subsidi RON95 di sini, hari ini.
Amir Hamzah memaklumkan, bagi tujuan kes ujian, anggota polis dan tentera akan menjadi kumpulan pertama yang dibenarkan membeli RON95 pada harga RM1.99 bermula Sabtu ini, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada Ahad.
“Mulai 30 September, semua warganegara Malaysia yang layak, mempunyai lesen, berusia lebih 16 tahun dan lesennya masih sah, boleh membeli pada harga RM1.99.
“Harga untuk orang lain (yang tidak layak mendapat subsidi), kita akan umum pada 30 September,” katanya.
Mengulas mengenai sebab penetapan subsidi adalah bagi penggunaan 300 liter sebulan, Amir Hamzah menjelaskan, berdasarkan data Jabatan Perangkaan, 99 peratus rakyat Malaysia menggunakan RON95 di bawah 300 liter dalam masa sebulan.
“Jika kita letakkan had 140 liter sebulan, bermakna 90 peratus rakyat Malaysia mendapat subsidi ini tapi kita mahu lebih banyak yang menikmatinya.
“Jadi, kita letakkan had 180 liter, kita dapat 95 peratus yang layak tapi kita nak jamin kebanyakan rakyat semua dapat, jika kita letakkan had 300 liter, iaitu 99 peratus layak,” katanya.
BHonline-


