KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berhubung arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya semua fasiliti gas asli cecair (LNG) di Sarawak memperketat kawalan keselamatan susulan satu ancaman yang tidak diperincikan.
Dalam satu kenyataan ringkas tanpa menyatakan bentuk ancaman diterima, PETRONAS menegaskan pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang menilai serta menangani situasi bersama pihak berkuasa.
“Setakat ini, operasi kami tidak terjejas dan tiada gangguan bekalan berlaku. Keselamatan pekerja serta kontraktor kekal menjadi keutamaan utama,” kata syarikat itu.
Arahan MKN itu membabitkan fasiliti LNG di Bintulu, lokasi utama kompleks LNG PETRONAS.
Langkah memperketat keselamatan di fasiliti berkenaan dilihat penting bagi menjamin kelancaran operasi, keselamatan tenaga negara serta keyakinan pasaran antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia sebagai pengeksport LNG utama dunia.
Berdasarkan rekod, Kompleks Gas Asli Cecair (LNG) PETRONAS di Bintulu bermula sebagai sebuah projek strategik pada akhir 1970-an, kemudahan ini telah berkembang menjadi salah satu pusat pengeluaran LNG terbesar di dunia dalam satu lokasi tunggal, memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia dan menjamin keselamatan tenaga bagi negara-negara rakan dagang utama.
Penubuhan kompleks ini adalah tindak balas langsung kepada penemuan rizab gas asli yang besar di perairan Sarawak pada tahun 1971. Berikutan itu, PETRONAS yang baru ditubuhkan pada 1974, telah memulakan satu usaha sama bersejarah dengan rakan kongsi antarabangsa seperti Shell dan Mitsubishi Corporation.
Ini membawa kepada penubuhan Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) pada tahun 1978 dan penghantaran kargo LNG pertama ke Jepun pada Januari 1983.
Sejak itu, kompleks ini telah melalui beberapa fasa pengembangan yang terancang, meningkatkan kapasiti pengeluarannya secara berperingkat kepada 29.3 juta tan setahun (MTPA) melalui sembilan “tren” atau unit pemprosesan.
Peningkatan kapasiti ini meletakkan Malaysia sebagai pengeksport LNG kelima terbesar di dunia.
Impak sosio-ekonomi daripada operasi ini amat signifikan. Kompleks LNG ini telah mengubah Bintulu daripada sebuah pekan nelayan terpencil kepada sebuah hab perindustrian yang pesat membangun.
Pembangunan ini merangsang pertumbuhan infrastruktur sokongan seperti pelabuhan, hotel, dan kemudahan awam, malah bakal menyaksikan pelaksanaan sistem pengangkutan moden Autonomous Rail Transit (ART).
Sumbangan kompleks ini kepada ekonomi adalah amat besar, menyumbang sebahagian besar daripada jumlah eksport kasar Sarawak Kerajaan Negeri Sarawak, sebagai pemegang ekuiti dalam usaha sama ini, telah menerima dividen terkumpul melebihi RM20 bilion sehingga Februari 2018, yang disalurkan semula untuk pembangunan negeri.
-Berita Harian


