KULAI: Tiga pasangan termasuk pelajar perempuan Tingkatan Empat bersama pasangannya berusia 20-an ditahan kerana berkhalwat dalam operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di beberapa hotel di daerah ini, awal pagi tadi.
Menurut JAINJ, pelajar perempuan yang masih bersekolah di luar daerah ini ditahan bersama pasangannya dalam operasi sekitar jam 10 malam hingga 3 pagi tadi.
“Kesalahan berkhalwat membabitkan pasangan ini amat mengejutkan kerana membabitkan pelajar sekolah. Lelaki berumur 20-an masih bujang dan bekerja di sebuah kilang, manakala perempuan pula berusia 16 tahun dan masih bersekolah di Tingkatan Empat di satu daerah lain.
“Lelaki terbabit terkejut apabila membuka pintu dan melihat lima penguat kuasa JAINJ.
“Ketika penguat kuasa masuk ke dalam bilik terdapat pasangannya yang sedang berdiri dan nampak wajah seperti budak sekolah,” katanya yang menjelaskan ibu bapa pelajar itu dipanggil untuk proses jaminan.
Menurut JAINJ, selain pasangan ini, pihaknya turut menahan dua lagi pasangan membabitkan lelaki dan wanita warga Indonesia.
“Lelaki berumur 30-an ditangkap di dalam bilik hotel bersama wanita senegara yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pekerja kantin.
“Manakala pasangan kedua membabitkan warga Myanmar dalam lingkungan umur 30-an yang bekerja pengawal keselamatan dan wanita bekerja di kilang di Senai,” katanya.
BHonline-


