KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini, hari ini, diberitahu bahawa seorang pelajar dirujuk sebagai A, mengambil cuti sakit lebih dua minggu selepas insiden malang menimpa arwah Zara Qairina Mahathir pada 16 Julai lalu.
Pelajar A adalah seorang daripada lima remaja yang didakwa berhubung kes buli Zara Qairina.
Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, berkata ibu pelajar A menghantar dua sijil cuti sakit daripada Klinik Kesihatan dengan tarikh berasingan, kepada beliau melalui aplikasi WhatsApp untuk memaklumkan perkara itu.
Saksi kelapan berusia 31 tahun pada inkues kes kematian Zara Qairina itu berkata, sijil cuti sakit pertama dari 28 Julai hingga 4 Ogos lalu telah dihantar pada 28 Julai, manakala sijil cuti sakit kedua bermula 8 hingga 18 Ogos dihantar pada 7 Ogos.
“Pada 11 Ogos lalu, ibu pelajar A menghantar pesanan WhatsApp memaklumkan minggu itu, beliau akan datang ke sekolah untuk mengambil semua barang-barang pelajar A.
“Dia juga berterima kasih kerana (warden) sudi menengok-nengokkan (memantau) anaknya sepanjang bersekolah di sini,” katanya.
Azhari membuka aplikasi WhatsApp di telefonnya dan membacakan mesej diterima daripada ibu pelajar A, ketika menjawab soalan peguam, Joan Goh yang mewakili pelajar A, pada hari ke-10 prosiding inkues, hari ini.
Azhari berkata, beliau mengetahui pelajar A ada melihat Zara Qairina diletakkan di tepi rumah warden, iaitu laluan antara bangunan Blok A ke Blok B, sebelum ambulans tiba di asrama berkenaan.
Ketika disoal sama ada beliau mengetahui pelajar A telah keluar dari sekolah kerana berasa trauma, beliau berkata: “Tidak. Dia juga tidak menunjukkan dia trauma.”
Beliau berkata, pengawal keselamatan asrama, Linah Mansoding @ Jaliha ada mengambil gambar pelajar A serta seorang lagi rakannya, dengan pelajar A menunjukkan tanda ‘peace’.
Katanya, gambar itu diambil ketika kedua-dua mereka diminta datang ke sekolah untuk diambil keterangan.
Goh: Gambar saja boleh tunjuk tidak trauma?
Azhari: Ya. Dia siap (buat tanda) ‘peace’ lagi dalam gambar yang pengawal keselamatan ambil.
Semalam, Azhari memberitahu mahkamah bahawa pelajar A telah berpindah sekolah, beberapa minggu selepas kejadian Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama pada 16 Julai lalu, namun tidak mengetahui alasan perpindahan itu.
Pada prosiding hari ini, Azhari memaklumkan bahawa ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, ada menceritakan kepada beliau bahawa pelajar A merupakan kawan baik arwah anaknya itu dan mengetahui semua berkaitan Zara Qairina.
Beliau berkata, pelajar A juga dikatakan mengikut Zara Qairina balik ke rumahnya di Sipitang pada 12 Julai lalu selepas program gotong-royong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.
“Itu yang saya tahu. Mungkin itu yang ibu Zara Qairina menganggap pelajar A adalah kawan baik Zara Qairina, yang kenal Zara Qairina,” katanya.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung Isnin depan.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang di bawah bangunan asrama sekolahnya di Papar pada awal pagi 16 Julai.
Bernama-


