KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun selepas dipercayai terbabit menyebarkan video berunsur fitnah di Facebook membabitkan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 13 September lalu berhubung penularan video yang dikongsi melalui pautan Facebook berkenaan.
Katanya, video berkenaan bukan sahaja mengandungi unsur fitnah, malah turut mendedahkan identiti kanak-kanak serta menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.
“Susulan laporan itu, pada 16 September kira-kira jam 5.40 petang, polis menahan seorang lelaki di Kota Kinabalu bagi membantu siasatan.
“Dua telefon bimbit turut dirampas daripada suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jauteh turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, selain berfikir sebelum berkongsi atau memuat naik kandungan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
BHonline-


