KUALA LUMPUR: Persoalan besar menyelubungi negara selepas Tragedi Putra Heights, adakah arteri tenaga Malaysia iaitu rangkaian paip gas sepanjang lebih 2,675 kilometer menyimpan risiko tersembunyi yang serupa di tempat lain?
Demi menjawab persoalan itu, Petronas Gas Bhd (PGB) melancarkan satu misi diagnostik kebangsaan yang belum pernah dibuat selama ini dengan mengerahkan teknologi canggih untuk melakukan ‘pemeriksaan kesihatan’ menyeluruh ke atas jantung sistem tenaga negara.
Operasi ini yang dijalankan dalam tempoh hanya dua bulan, bukan sekadar tindak balas teknikal tetapi satu usaha proaktif untuk memulihkan keyakinan awam.
Menyedari ancaman di Putra Heights bersifat ‘halimunan’ dan tidak dapat dikesan oleh kaedah pemeriksaan biasa yang bertumpu pada kakisan, PGB beralih kepada teknologi yang lebih canggih termasuk GeoPIG (Geometric Pipeline Inspection Gauge) dan tinjauan Lokasi Elektromagnetik (EML), yang berfungsi memberikan gambar resolusi tinggi mengenai keadaan paip serta persekitarannya.
GeoPIG boleh digambarkan sebagai sebuah ‘kapsul pintar’ atau peranti diagnostik berteknologi tinggi yang bergerak di dalam saluran paip untuk mengesan sebarang pergerakan, lekukan atau anomali (kelainan) struktur, khususnya yang berpunca daripada pergerakan tanah atau mendapan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PGB, Abdul Aziz Othman, berkata peranti itu bersaiz besar dengan diameter kira-kira 91 sentimeter, dimasukkan ke dalam saluran paip dan bergerak mengikut aliran gas, mengimbas setiap ruang dari dalam.
Sementara itu, EML pula membantu mengenal pasti dan memetakan kedudukan tepat saluran paip dan struktur logam berdekatan, bagi menilai risiko potensi gangguan luaran.
Tidak seperti teknologi lama yang hanya mengukur ketebalan logam, GeoPIG dilengkapi dengan penderia jitu yang memetakan kedudukan tiga dimensi paip dengan tepat.
Data itu kemudiannya dibandingkan dengan lukisan reka bentuk asal. Sebarang perbezaan, walaupun sekecil beberapa sentimeter, menandakan berlakunya pergerakan tanah atau tekanan luaran – risiko sama yang menyebabkan bencana di Putra Heights.
Hasil imbasan 2,675 kilometer: Satu penemuan kritikal
Dalam tempoh kira-kira dua bulan, misi diagnostik itu berjaya mengimbas hampir 95 peratus daripada keseluruhan rangkaian paip gas Semenanjung Malaysia. Hasilnya membawa kelegaan besar kepada negara.
“Alhamdulillah, berdasarkan maklumat ini, pergerakan (di kawasan lain) tidak begitu membimbangkan,” kata Abdul Aziz ketika ditemui BH, baru-baru ini.
Beliau dengan yakin menyatakan: “Tiada lokasi lain yang menunjukkan profil risiko seperti yang dikesan di Putra Heights”.
Namun, kejayaan sebenar operasi GeoPIG dan EML ini terletak pada kemampuan mengesan satu anomali (kelainan) yang memerlukan perhatian segera.
“Satu-satunya kawasan yang kami lihat dengan sedikit pergerakan yang perlu dipantau ialah di Rasah, Negeri Sembilan,” dedah Abdul Aziz.
Penemuan ini amat penting kerana membuktikan keberkesanan teknologi GeoPIG dan EML dalam mengenal pasti potensi risiko sebelum menjadi krisis.
Pasukan PGB segera digerakkan ke Rasah untuk melaksanakan langkah-langkah mitigasi (pembaikan).
Beliau berkata, walaupun pergerakan tanah di Rasah berbeza, iaitu membabitkan pergerakan permukaan dan bukannya bawah tanah seperti di Putra Heights, tindakan pantas sudah diambil.
“Itu sebulan atau dua bulan lalu, kami sudah masuk dan melakukan mitigasi yang diperlukan. Sehingga hari ini, kawasan itu sudah distabilkan, jelas beliau, mengesahkan bahawa risiko tersebut kini telah ditangani sepenuhnya.
Amalan tahunan
Bagi tempoh dua hingga empat tahun akan datang, penilaian GeoPIG dan EML ini akan distrukturkan sebagai amalan tahunan, sebahagian daripada pendekatan proaktif untuk mengurus risiko bawah tanah dan memperkukuh keselamatan jangka panjang.
Operasi GeoPIG dan EML yang dilancarkan selepas tragedi Putra Heights adalah lebih daripada sekadar satu prosedur teknikal. Ia adalah satu demonstrasi komitmen terhadap keselamatan awam dan satu langkah proaktif untuk menjawab kebimbangan rakyat.
Dengan mengimbas hampir keseluruhan arteri tenaga negara, mengenal pasti satu-satunya kawasan berisiko dan menyelesaikannya dengan pantas, PGB telah memberikan jaminan yang disokong oleh data dan tindakan.
Semua langkah yang diambil, mencerminkan komitmen berterusan PGB terhadap penambahbaikan, pembelajaran berasaskan risiko baharu, pemantapan kawalan keselamatan di samping usaha untuk mengekalkan keyakinan awam terhadap infrastruktur tenaga negara.
Misi diagnostik kebangsaan ini bukan sahaja telah mengesahkan keselamatan infrastruktur gas negara, tetapi juga telah menetapkan satu standard baharu dalam pengurusan risiko, memastikan jantung tenaga Malaysia terus berdegup dengan selamat untuk tahun-tahun akan datang.
-Berita Harian
