KUALA LUMPUR: Seramai 10 anggota polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Johor dan Pahang, baru-baru ini bakal berdepan tindakan tatatertib susulan siasatan terhadap mereka.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad, berkata pihaknya sudah memulakan siasatan dalaman termasuk pertimbangan untuk mengenakan tindakan tahan kerja.
Beliau berkata, siasatan kes membabitkan anggota terbabit diserahkan sepenuhnya kepada SPRM dan JIPS akan terus memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.
“Kes ini membabitkan penahanan anggota polis di Johor dan Pahang, malah siasatan masih dijalankan SPRM.
“Jadi, kita tunggu proses siasatan sehingga mereka didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman untuk proses seterusnya,” katanya selepas Program Ramah Mesra Ketua Polis Negara Bersama Media 2025 di Bukit Aman, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan enam anggota polis direman tujuh hari sehingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan wang RM12,000 yang didakwa diterima sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu memiliki air ketum di Temerloh, Pahang.
Selain itu, empat anggota polis juga direman enam hari di Johor kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM635,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap aktiviti perjudian.
Hamzah berkata, tindakan dalaman oleh pihak JIPS tetap akan diambil selari dengan prosedur sedia ada.
BHonline-


