KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 21 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes pempengaruh yang juga peniaga kosmetik yang berdepan pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 1.015 kilogram (kg).
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menetapkan demikian selepas pihak pendakwaan memohon satu tarikh baharu bagi serahan laporan kimia berikutan keputusan laporan masih belum diperoleh berhubung kes terhadap lelaki berkenaan, Abdul Rahman Mohamad Hussain, 36.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ely Nazihah Ahmad Yunus, manakala tertuduh diwakili barisan peguam diketuai Datuk Amirul Ridzuan Hanif bersama Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique dan Iqmal Jamaludin.
Abdul Rahman didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine yang dianggarkan seberat 1.015 kg di sebuah kedai di tingkat niaga Paya Keladi, di sini, jam 8.40 malam pada 28 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.
Media sebelum ini melaporkan peniaga kosmetik ditahan bersama dadah yang dianggarkan seberat 1.02 kg membabitkan rampasan keseluruhan termasuk aset bernilai lebih RM1 juta.
BHonline-


