KOTA BHARU: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan terhadap kes Zara Qairina Mahathir akan dijalankan secara telus tanpa ada tolak ansur.
Perdana Menteri berkata, kes itu tidak boleh dipandang ringan, namun memohon orang ramai tidak menjadikannya sebagai bahan politik sekali gus membuat sebarang spekulasi yang mungkin mengundang fitnah.
Beliau berkata, meskipun ada yang mengaitkan kematian remaja perempuan berusia 13 tahun itu dengan orang kenamaan, siasatan tetap dijalankan secara telus.
“Kita tak pandang ringan dan arahan kita jelas, tiada tolak ansur. Macam-macam orang bercerita, kata anak TYT lah, menteri lah, itu semua cerita, saya tak peduli, tapi jangan fitnah.
“Pepatah Melayu kata jangan bina istana di atas pusara orang. Ini soal kematian, tak kiralah anak orang miskin atau kaya, bukan mainan. Kalau keluarga saya terbabit pun, sudah tentu ingin tahu puncanya.
“Saya sudah arahkan Ketua Siasatan Jenayah di Kuala Lumpur (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar) pantau sendiri supaya tak timbul masalah, ini Kerajaan Madani, tak ada nak lindung sesiapa yang bersalah,” katanya ketika berucap pada program Rancakkan Madani Kelantan di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Anwar berkata, langsung tiada kebimbangan di pihaknya sekiranya terbongkar apa-apa selepas proses bedah siasat remaja perempuan itu dilakukan.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak berkuasa menggali semula kubur Allahyarham yang dikebumikan selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama.
Menurut AGC, tindakan itu antara beberapa arahan yang dikeluarkan pihaknya untuk siasatan secara menyeluruh dilakukan bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah itu.
Langkah itu bertujuan memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina.
AGC juga berpendapat, terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh selepas meneliti laporan penuh siasatan awal yang dikemukakan oleh PDRM berhubung kes kematian remaja itu.
BHonline-


