TAWAU: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional (KV) Lahad Datu selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman itu turut memerintahkan 12 tertuduh lain yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Beliau ketika membacakan hukuman, berkata walaupun pihak pendakwaan memohon hukuman mati diberikan kepada tertuduh yang kini berusia 20 tahun, namun mahkamah berpendapat bahawa dia (pesalah muda) wajar diberikan peluang untuk berubah dan membina semula kehidupannya sebagai seorang warganegara yang berguna.
Katanya, sekalipun usia muda adalah satu keadaan yang boleh dipertimbangkan, ia tidak cukup kuat untuk menjustifikasikan pengurangan hukuman mengambil kira tahap keseriusan jenayah yang dilakukan.
“Dalam kes ini, tertuduh iaitu pesalah muda berusia 19 tahun ketika kesalahan dilakukan bersama 12 yang lain disabitkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34, atas kesalahan membunuh rakan asrama mereka.
“Berbeza dengan rakan tertuduh lain yang masih bawah umur dan dibicarakan di bawah Akta Kanak-Kanak, dia (pesalah muda) tidak lagi dikira sebagai kanak-kanak di sisi undang-undang dan perlu berdepan hukuman mengikut Kanun Keseksaan.
“Berhubung 12 pesalah kanak-kanak, saya memerintahkan mereka ditahan di penjara sepanjang diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri, selaras dengan Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman, hakim menegaskan perbuatan buli di sekolah bukanlah perkara baharu, namun kini ia sudah sampai ke tahap meragut nyawa.
Katanya, kes itu menjadi contoh dan peringatan penting bahawa perbuatan buli memusnahkan kehidupan, meragut masa depan anak-anak dan menghancurkan harapan ibu bapa.
“Ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan harapan untuk mendapat pendidikan dan masa depan yang cerah, tetapi ada yang pulang dalam keadaan trauma, malah ada yang tidak kembali sama sekali,” katanya.
BHonline-


