BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita 38 kenderaan mewah pelbagai jenama kebanyakan milik golongan kenamaan, termasuk bergelar Datuk menerusi ‘Op Luxury’ yang diadakan sejak Jun lalu.
Semua kenderaan bernilai lebih RM10 juta itu disita selepas didapati tidak memiliki cukai jalan (LKM) dan insurans yang sah.
Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail, berkata berikutan kesalahan itu kerajaan mengalami ketirisan hasil lebih RM77,400.
“Apabila ditanya kenapa mereka tidak memperbaharui LKM dan insurans, kebanyakan memberi alasan lupa yang ia adalah alasan lapuk dan sama sekali tidak boleh diterima, apatah lagi ada yang sanggup biarkan cukai jalan mereka tamat tempoh sejak dua tahun lalu.
“Kebanyakan kenderaan mewah ini juga didapati didaftarkan atas nama syarikat, namun digunakan sendiri oleh pemilik, ahli keluarga dan pekerja.
“Selain itu, terdapat juga sesetengah pemandu yang memandu kenderaan mewah ini didapati tidak mempunyai lesen memandu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ negeri di Seberang Jaya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kenderaan mewah yang disita menerusi operasi diadakan itu termasuk sebuah Rolls Royce, Mercedes Benz (2), Porsche (2), Audi (3), Mini Cooper (3), Volkswagen (2), BMW (11), Toyota termasuk Alphard dan Vellfire (13) serta sebuah Great Wall.
“Melalui semua jenama ini, cukai jalan tahunan tertinggi adalah Rolls Royce iaitu kira-kira RM54,000 setahun (belum masuk insurans),” katanya.
BHonline-


