KUALA LUMPUR: Hantaran ‘sticker’ lucah dalam aplikasi sosial dikenal pasti antara taktik awal digunakan dalam proses pengantunan oleh pemangsa seksual yang boleh membawa kepada jenayah fizikal seperti rogol dan amang seksual.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata pemangsa biasanya membina hubungan yang kelihatan mesra sama ada sebagai peminat, rakan atau selebriti.
Beliau berkata, mereka biasanya menghantar ‘sticker’ lucah sebagai gurauan awal untuk menguji reaksi mangsa.
“Selepas itu, perlahan-lahan mereka (suspek) membina kepercayaan, contohnya pujian, janji hadiah atau kata-kata manis.
“Kemudian, mereka meminta gambar, video atau mengajak perbualan seksual. Semua dilakukan dalam ruang digital yang kelihatan peribadi seperti WhatsApp,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Siti Kamsiah berkata, kanak-kanak sering menjadi sasaran kerana tahap kematangan mereka masih terbatas dan sukar membezakan antara perbuatan betul atau salah, termasuk kesan dan akibat sesuatu perlakuan.
Beliau berkata, dalam situasi seperti itu, beberapa kesalahan jenayah boleh disabitkan termasuk berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Katanya, situasi berkenaan berlaku apabila seseorang menghantar kandungan berunsur seksual dalam bentuk teks, imej pegun, video atau ‘sticker’ lucah walaupun tanpa sebarang maklum balas daripada kanak-kanak terbabit.
“Ibu bapa perlu mendidik anak sempadan digital dan tidak memandang ringan sebarang hantaran lucah di media sosial.
“Pantau aplikasi dan kenali siapa rakan digital anak dan usah anggap sticker lucah sebagai lawak biasa kerana ini pintu masuk kepada jenayah seksual.
“Jangan leka dengan persekitaran digital anak-anak kerana zaman ini jenayah berlaku tanpa sentuhan fizikal. Sticker lucah yang nampak ringan itu boleh jadi permulaan kepada penderaan seksual,” katanya.
BHonline-


