KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan pihaknya tidak berhasrat menubuhkan Majlis Pemantauan Vape Malaysia, sebaliknya cadangan itu dikemukakan pemain industri peranti rokok elektronik atau vape.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata selaras Artikel 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau (WHO FCTC), kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi dasar kesihatan awam daripada sebarang pengaruh kepentingan komersial atau industri produk merokok.
“Jadi, KKM menegaskan Majlis Pemantauan Vape Malaysia tidak pernah ditubuhkan oleh pihak kementerian bagi memantau atau menangani isu berkaitan rokok elektronik atau vape.
“Cadangan penubuhan majlis itu sebenarnya datang daripada pihak industri rokok elektronik atau vape seperti dilaporkan media pada 20 dan 21 Jun 2025,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan laman sesawang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) yang ingin tahu perincian penubuhan Majlis Pemantauan Vape Malaysia.
Pada 21 Jun lalu, media melaporkan, pemain industri vape mencadangkan penubuhan Majlis Pemantauan Vape Malaysia bagi menangani isu penyalahgunaan peranti rokok elektronik dalam kalangan belia termasuk pelajar sekolah.
Pengarah Urusan Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil dipetik sebagai berkata, majlis itu boleh diletakkan di bawah pemantauan kerajaan dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk KKM, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Melalui majlis berkenaan, katanya, kawal selia industri vape dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan bersepadu membabitkan aspek pengilangan, pengedaran, kawalan produk dan penguatkuasaan.
Sementara itu, mengulas pengharaman vape, Dr Dzulkefly berkata, kerajaan sedang menuju ke arah menyekat sepenuhnya penggunaan dan penjualan peranti elektronik terbabit.
“Bagaimanapun, pelaksanaan pengharaman ini perlu dibuat secara teliti dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk impak kepada perundangan, penguatkuasaan dan kesihatan awam.
“Penelitian menyeluruh sedang dijalankan bagi menilai keberkesanan langkah kawalan sedia ada dan keperluan dasar yang lebih komprehensif demi melindungi kepentingan kesihatan rakyat secara keseluruhan,” katanya.
BHonline-


