KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya tindakan segera dapat diambil untuk menempatkan petugas kesihatan di Hospital Pasir Gudang supaya ia dapat beroperasi sepenuhnya dan memenuhi keperluan kesihatan penduduk negeri itu.
Baginda juga menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan proses kelulusan dan pengisian jawatan yang tidak diisi hingga menyebabkan kesesakan luar biasa di hospital seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI), Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim dan lain-lain hospital yang berdepan isu kekurangan kakitangan kesihatan.
“Dalam pada itu, bagi kemasukan pelaburan baharu ke negeri Johor selepas ini, saya ingin menasihatkan supaya syarikat terbabit bersedia menawarkan gaji minima sebanyak RM4,000 bagi graduan lepasan universiti di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Ini bagi menjamin kesejahteraan tenaga kerja serta menarik bakat bernilai tinggi. Syarikat sedia ada juga digalakkan untuk meneliti semula struktur gaji dan mempertimbangkan kenaikan gaji minima buat pekerja tempatan di Johor.
“Saya turut menggesa kerajaan Persekutuan supaya satu dasar atau hala tuju jelas dapat disediakan bagi memastikan isu ‘brain drain’ di Johor dapat diatasi,” titah baginda dalam satu hantaran di laman sosial, di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam menangani isu bekalan air pula, baginda bertitah, Johor menghargai kelulusan projek infrastruktur bekalan air baharu berjumlah RM991 juta dengan kapasiti 260 juta liter sehari (JLH) oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang dimuktamadkan melalui Project Execution Letter (PEL) bertarikh 7 Julai 2025.
“Projek berkenaan akan memperkukuh keupayaan sistem agihan air terawat khususnya di kawasan JS-SEZ.
“Sebagai tambahan, Johor juga menyasarkan pembinaan infrastruktur air mentah sebanyak 2,000 JLH yang mampu menampung keperluan air di seluruh negeri sehingga tahun 2060.
“Ini termasuk Projek TAPS Sungai Johor dengan kapasiti 200JLH, Projek Pembinaan Baraj dan TAPS Sungai Sedili dengan kapasiti 600JLH serta Projek Pembinaan Baraj dan TAPS Sungai Pontian dengan kapasiti 100JLH yang sudah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12),” titah baginda.
Baginda bertitah, langkah ituvdijangka berupaya menyokong keperluan air bagi sektor perindustrian, komersial dan domestik dalam jangka masa sederhana dan panjang.
“Justeru, pelabur baharu tidak perlu bimbang mengenai sebarang gangguan bekalan air pada masa hadapan kerana kesejahteraan rakyat Johor adalah keutamaan buat saya.
“Keutamaan ini tidak akan saya abaikan dan akan terus bersuara supaya suara rakyat Johor tidak tenggelam dalam hiruk-pikuk pentadbiran dan prosedur.
“Perkhidmatan kesihatan bukan satu kemewahan, ia adalah hak asas yang sepatutnya dapat dinikmati oleh setiap rakyat tanpa perlu menunggu lama dan tanpa perlu rasa terabai,” titah baginda.
-Berita Harian


