KUALA KRAI: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki dan mengedar 67.7 kilogram dadah jenis kanabis di Padang Sembilan, di sini, pada 11 Julai lalu.
Tertuduh, Wan Muhamad Aziem Ashraf Wan Mustafa, 31, dan isterinya, Wan Matraf Azlinda Wan Mat, 49, mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.
Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibacakan bersama, tertuduh didapati mengedar dadah kanabis dengan anggaran berat 67.7 kilogram di tepi jalan Padang Sembilan, di sini, pada jam 4 pagi 11 Julai lalu.
Tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati perlu dikenakan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 15.1 gram pada hari dan lokasi sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd Nor dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes berkenaan dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan menetapkan 23 September untuk sebutan semula kes serta laporan kimia.
Media sebelum ini melaporkan, suami isteri disyaki ketua kumpulan pengedaran dadah ditahan bersama 90 kilogram ganja mampat dan bunga ganja bernilai RM2.37 juta dalam serbuan di Kuala Krai dan Pasir Puteh.
Kedua-dua suspek ditahan jam 4 pagi di Jalan Padang Sembilan, Kuala Krai sebelum rampasan seterusnya dilakukan di kediaman suspek di Selising, Pasir Puteh pada jam 4 petang.
Suspek yang mendalangi kegiatan pengedaran dadah itu berselindung di sebalik peniaga ayam proses, manakala suaminya bekerja sebagai pemandu e-hailing.
BHonline-