LUNDU: Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Sosial dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kini pihaknya berada di peringkat akhir dalam merangka RUU berkenaan.
Beliau berkata, RUU itu adalah langkah penting ke arah pengiktirafan rasmi terhadap profesion pekerja sosial di Malaysia.
“RUU itu bertujuan memberikan perlindungan dari segi perundangan kepada dua pihak utama, iaitu penyedia serta penerima perkhidmatan sosial.
“Apabila kita mewujudkan RUU ini dan menjadi undang-undang nanti, kita tidak lagi menyebutkan ‘pekerja sosial’ saja tetapi itu adalah satu profesion,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Taklimat Agensi di bawah KPWKM di sini, hari ini.
Nancy berkata, beberapa siri libat urus diadakan bersama pelbagai pihak berkepentingan di seluruh negara bagi memperhalusi kandungan RUU itu.
Menurutnya, RUU itu akan turut memperincikan definisi siapa yang layak digelar sebagai pekerja sosial, termasuk menetapkan syarat kelayakan akademik serta bentuk perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat.
Selain itu, kandungan RUU juga menekankan aspek perlindungan kepada kedua-dua pihak iaitu pekerja sosial dan penerima perkhidmatan, bagi memastikan keselamatan dan keadilan sentiasa terpelihara.
Menurutnya lagi, sesi maklum balas awam masih dibuka sehingga esok dan orang ramai boleh mengakses borang maklum balas melalui kod QR yang disediakan di laman media sosial rasmi KPWKM.
“Ketika ini, draf RUU sedang dalam proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri.
“KPWKM mensasarkan pembentangan RUU ini pada hujung tahun, atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan sekiranya berlaku sebarang kelewatan,” katanya.
-Berita Harian
