GUA MUSANG: Kejadian ratusan ikan mati di Sungai Ketil, dekat Taman Rekreasi Rimba Wangi, Taman Wangi, di sini, dua hari lalu membimbangkan penduduk di kawasan itu.
Penduduk mendakwa kejadian berlaku apabila air sungai dicemari sisa buangan daripada kilang berhampiran dan masalah itu sudah berlarutan sejak empat tahun lalu.
Seorang penduduk, Mat Hussin Daud, 68, berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin apabila melihat banyak ikan mati.
“Apabila sampai ke tebing sungai saya dapati banyak ikan mati dan terapung dan air sungai berwarna keruh serta berbau busuk.
“Saya bersama isteri mengutip ikan berkenaan menggunakan baldi dan mendapat kira-kira lapan kilogram ikan baung serta dua ikan kelah dengan berat lebih empat kilogram.
“Kami berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan lebih tegas bagi membendung pencemaran Sungai Ketil. Kejadian pencemaran sungai ini bukan kali pertama berlaku sehingga menyebabkan banyak ikan sungai mati.
“Kami juga risau akan risiko keselamatan apabila Sungai Ketil ini juga menjadi sumber air terawat untuk kegunaan penduduk di Gua Musang,” katanya ketika di temui di Taman Rekreasi Rimba Wangi.
Terdahulu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim bersama Ketua Jajahan Gua Musang, Mohd Roshdi Ismail, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) turun padang meninjau kawasan Sungai Ketil selepas menerima aduan daripada penduduk.
Mohd Azizi berkata, mengikut aduan yang diterimanya masalah pencemaran itu dipercayai sudah kerap kali berlaku terutamanya pada hujung minggu atau cuti umum sejak 2021.
Katanya, kebanyakan penduduk risau dengan kualiti air Sungai Ketil yang menjadi sumber utama kegunaan penduduk di sekitar bandar Gua Musang.
“Sungai Ketil turut menjadi lokasi tumpuan rekreasi orang ramai apabila aktiviti tubing diadakan dan disertai pelancong luar negara.
“Kita mahu pihak berkuasa terutamanya JAS menyiasat puncanya kerana tidak mahu Sungai Ketil terus tercemar dan memberi kesan jangka panjang termasuk kes keracunan kepada rakyat,” katanya.
Mohd Roshdi pula berkata, pihak JAS sudah mengambil sampel air Sungai Ketil berkenaan untuk tindakan serta kajian lanjut.
Katanya, pihaknya akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan hasil penemuan JAS dan mengambil langkah yang sepatutnya untuk mengatasi pencemaran sungai daripada terus merebak.
Sebelum ini, pada 2021, ribuan bangkai ikan pernah ditemukan terapung di permukaan Sungai Ketil, dekat Taman Rekreasi Rimba Wangi dipercayai akibat pencemaran bahan sisa buangan kilang.
Pada tahun lalu pula, lebih 2,000 penduduk di sekitar Taman Wangi berdepan masalah pencemaran apabila Sungai Ketil sering bertukar menjadi warna hitam.
-Berita Harian

