SEPANG: Dua individu yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan penuntut universiti di Cyberjaya, 24 Jun lalu akan didakwa di Mahkamah Sepang, esok.
Mengesahkan perkembangan itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata mereka akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Suspek utama iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia 20 tahun akan dituduh di mahkamah pada jam 8.30 pagi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 24 Jun lalu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi Maniishapriet Kaur, 20, dari Sarawak, ditemui mati di unit kediaman kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan pada jam 10 pagi.
Susulan itu, beberapa suspek ditahan dalam tempoh 48 jam selepas kejadian dalam serbuan di Johor dan Melaka.
Pada 3 Julai lalu, media melaporkan tiga suspek kes pembunuhan itu disambung reman tujuh hari sehingga Khamis. Ketiga-tiga suspek itu sebelum ini direman tujuh hari bermula 27 Jun.
BHonline-


