PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, memerintahkan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin untuk membela diri, manakala bapa kanak-kanak autistik itu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan anak mereka yang berusia enam tahun berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu.
Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismanira Abdul Manaf, 30, pada akhir kes pendakwaan, namun gagal membuktikan sedemikian ke atas Zaim Ikhwan Zahari, 30.
Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari 5 Disember hingga jam 9.55 malam 6 Disember 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selepas mahkamah menyampaikan keputusan, Ismanira dan suaminya dilihat menangis sambil berpelukan serta ditenangkan oleh ahli keluarga mereka.
Syahliza dalam penghakiman ringkasnya berkata, selepas meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan secara penilaian maksimum serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan pada akhir kes pendakwaan.
“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pemeliharaan, pengabaian dan niat bersama, oleh itu pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tertuduh pertama (Zaim Ikhwan) dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri serta wang jaminan dikembalikan.
“Bagi tertuduh kedua (Ismanira) pula, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh kedua dan dia dipanggil untuk membela diri mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.
Ismanira yang memberi keterangan bela diri pada hari ini, memilih untuk berbuat demikian secara bersumpah dari kandang saksi.
Terdahulu, Ismanira dimaklumkan oleh mahkamah bahawa dia mempunyai tiga pilihan, iaitu berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; memberikan keterangan secara tidak bersumpah dari kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pendakwaan; atau memberikan keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dengan pendakwaan diberi peluang untuk mengemukakan soalan ketika pemeriksaan balas.
Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris serta Lavanesh Haresh.
Allahyarham Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum mayatnya ditemui keesokannya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya.
BHonline-


