KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memanggil semula 8,322 kenderaan membabitkan tiga jenama kerana berisiko mengalami kecacatan komponen dan kegagalan fungsi sistem penting.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan pemilik kenderaan KIA, Yamaha dan Mercedes-Benz serta pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Katanya, pengeluar jenama KIA memanggil semula model KIA Rio UB tahun keluaran 2010 hingga 2017, membabitkan 5,123 unit berikutan risiko litar pintas yang boleh menyebabkan kebakaran pada papan litar Hydraulic Electronic Control Unit (HECU).
“Selain itu, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd turut melaksanakan pemanggilan semula bagi tiga model motosikal keluarannya, iaitu MT09 dan Tracer 9 GT keluaran November 2021 hingga Februari 2025 serta Tenere 700 keluaran 2023 hingga 2024.
“Masalah yang dikenal pasti membabitkan Throttle Position Sensor (TPS) serta sistem klac yang boleh menjejaskan penukaran gear, membabitkan sejumlah 3,167 unit motosikal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aedy berkata Mercedes-Benz Malaysia memanggil semula 32 unit pelbagai model keluaran 2023 hingga 2025 iaitu S 580 e, S GLC 300 4MATIC, EQS 500, AMG SL 43,AMG EQE 53, dan AMG EQS 53.
Katanya, isu teknikal dikenal pasti membabitkan kotak fius yang mungkin tidak dipasang semula dengan sempurna, sekali gus menjejaskan keselamatan sistem kenderaan.
“Semua pemilik akan dihubungi oleh pihak pengeluar untuk penyelarasan pemeriksaan dan penggantian komponen yang akan ditanggung sepenuhnya oleh pengeluar kenderaan masing-masing.
“Untuk maklumat lanjut berkenaan proses pemanggilan semula ini, pemilik kenderaan boleh hubungi atau kunjungi mana-mana pusat jualan atau perkhidmatan masing-masing yang berdekatan,” katanya.
Bagi pemilik KIA Rio UB, Aedy berkata mereka boleh menghubungi Dinamikjaya Motors Sdn. Bhd di talian 03-7627 3222, emel ke [email protected] atau layari laman sesawang https://kiamalaysia.com.my/kia/recall.html.
Katanya, bagi pemilik Yamaha MT09, Tracer 9 GT dan Tenere 700, pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd menerusi talian 03-61486310, emel [email protected] atau di laman sesawang https://www.yamaha-motor.com.my/?lang=ms.
Sementara itu, pemilik Mercedes-Benz boleh menghubungi Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd di talian 1-800-88-1133, emel ke [email protected] atau layari https://www.mercedes-benz.com.my/.
Aedy memberi jaminan JPJ akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula ini dan komited untuk memastikan semua unit kenderaan terbabit akan menjalani pemeriksaan dan disahkan selamat.
-Berita Harian


