Johor Bahru: Koperal Adline Liu, 32 yang terbabit nahas helikopter yang terhempas berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah di sini, kelmarin, baru berkahwin.
Suaminya, Koperal Mohd Helmie Huzairie Sabli, 34 yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor berkata, Adline seorang mualaf dan mereka baru mendirikan mahligai perkahwinan, 20 Mei lalu.
Katanya terkejut dengan kejadian menimpa Adline yang bertugas sebagai Pemerhati Udara Pasukan Gerakan Udara (PGU) sewaktu kejadian.
“Tidak sangka kejadian berlaku dan terkejut. Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian saya terus bergerak ke Johor Bahru dan sampai di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 3 petang hari sama.
“Kami berkenalan lebih kurang sembilan tahun lepas sebelum Adline bertukar ke PGU. Isteri dan saya berasal dari Sarawak. Keluarga isteri termasuk ibunya juga telah tiba dari Kota Samarahan, Sarawak sejak semalam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Mohd Helmie Huzairie, keadaan isterinya bertambah baik masuk hari ketiga, namun masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Katanya Adline sudah sedar sepenuhnya tanpa bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan mula bercakap pada 3 petang semalam.
“Alhamdulillah, perkembangan semakin baik, keadaan paru-parunya juga baik. Doktor memaklumkan pemantauan dilakukan pada bahagian tulang belakang kerana ada bahagian tulang yang patah.
“Kelenjar pinggangnya juga bengkak tetapi tidak memerlukan pembedahan. Saya memohon doa rakyat Malaysia untuk kesembuhan Adeline dan rakan-rakannya yang lain,” katanya.
Kelmarin, helikopter milik PDRM itu dilaporkan terhempas berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Gelang Patah, ketika melakukan lintas hormat sempena demonstrasi latihan MITSATOM 2025.
-Harian Metro


