KUALA LUMPUR: ASEAN menggesa kerajaan Thailand dan Kemboja kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan pertikaian antara kedua-dua negara secara aman dan mengikut undang-undang antarabangsa.
Menteri-menteri Luar ASEAN dalam satu kenyataan hari ini menyuarakan kebimbangan dengan ketegangan yang meningkat antara dua negara berkenaan yang mengakibatkan peningkatan jumlah korban dan kemusnahan harta benda awam, selain memaksa penduduk secara besar-besaran berpindah ke kawasan sempadan.
“Kami menekankan keperluan untuk kedua-dua pihak menahan diri sepenuhnya dan melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan gencatan senjata itu.
“Kami menggesa penyelesaian secara aman bagi mengembalikan keamanan dan kestabilan berlandaskan semangat kekeluargaan ASEAN, perpaduan dan kejiranan yang baik,” katanya.
Pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja memuncak pada 25 Julai lalu, mengakibatkan pertempuran bersenjata di kawasan sempadan utara Kemboja.
Pertempuran terbaharu itu dilapor mengorbankan lebih 20 nyawa di pihak Thailand dan pada masa sama, pihak berkuasa Kemboja memaklumkan, lima anggota tentera dan lapan orang awam terbunuh, manakala ribuan penduduk dipindahkan di kedua-dua belah sempadan.
Ketegangan itu semakin meningkat sejak 28 Mei lalu susulan insiden konfrontasi antara anggota tentera berhampiran kawasan sempadan Preah Vihear yang dipertikaikan, mengakibatkan kematian seorang tentera Kemboja.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu sudah lama tidak sependapat mengenai jajaran sepanjang 817 kilometer (km) sempadan yang belum dimuktamadkan, yang terus menjadi punca ketegangan dan tekanan diplomatik.
Pada jam 3 petang ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan bersama pemimpin Thailand dan Kemboja di Putrajaya bagi membincangkan konflik berkenaan.
Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara meminta Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk menjadi pengantara bagi mencari penyelesaian dalam isu itu.
Menteri-menteri Luar ASEAN berkata, mereka akan terus memberi perhatian terhadap isu itu dan menyokong usaha Pengerusi ASEAN melalui pendekatan diplomatiknya dalam memudahkan kedua-dua pihak menyambung semula dialog secara aman dan menamatkan pertempuran.
-Berita Harian


