SHAH ALAM: Semua Ahli Parlimen berhak mengemukakan sebarang usul di Dewan Rakyat dan tiada pihak boleh melarang, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani,
Bagaimanapun, katanya keputusan mengenai usul berkenaan akan ditentukan Parlimen.
“Dalam Parlimen ini, siapa-siapa Ahli Parlimen boleh bawa usul. Tiada siapa boleh melarang.
“Jadi kalau di bawa ke Parlimen… kita tengok siapa yang dapat sokongan, siapa yang tak dapat sokongan dan Parlimen yang menentukan,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam, di sini, hari ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu ditanya mengenai tindakan Perikatan Nasional (PN) yang mahu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Media semalam melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan usul itu akan dipertimbang untuk dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Johari Abdul dalam masa terdekat.
Beliau ketika menyertai Himpunan Pembangkang di Dataran Merdeka, mengulas kenyataan Anwar pada Isnin lalu yang tidak gentar malah bersedia berdepan jika pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya itu.
Perdana Menteri sebelum ini turut memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat supaya membenarkan usul itu sekiranya ada dikemukakan di Parlimen.
BHonline-


