SEPANG: Tiga suspek kes pembunuhan seorang penuntut wanita sebuah universiti swasta di Cyberjaya pada 24 Jun lalu disambung reman tujuh hari bermula hari ini.
Ketiga-tiga suspek terbabit tiba dengan berpakaian lokap dan bergari di Mahkamah Majistret Sepang, di sini jam 8.40 pagi hari ini menaiki kenderaan polis.
Permohonan sambung reman itu dibenarkan oleh Majistret Khairatul Animah Jelani bermula hari ini hingga 10 Julai.
Terdahulu media melaporkan, seorang wanita yang juga penuntut sebuah universiti swasta di Cyberjaya, ditemui mati dipercayai dibunuh dalam bilik asramanya.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, Maniishapriet Kaur, 20, yang berasal dari Sarawak, ditemui maut di unit kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan pada jam 10 pagi, 24 Jun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata suspek utama kes itu dipercayai pernah beberapa kali bermalam bersama kekasihnya di rumah berkenaan.
Berdasarkan siasatan, rakan serumah mangsa yang juga kekasih suspek utama menyerahkan kad akses dan kunci rumah berkenaan kepada lelaki terbabit untuk tinggal di kondominium itu sebelum kejadian.
Pada 27 Jun media melaporkan, tiga suspek kes pembunuhan di Cyberjaya, direman tujuh hari hingga 3 Julai.
BHonline-


